Pasport baharu Malaysia miliki 94 ciri keselamatan, mula dikeluarkan esok

30 Jun 2026, 5:47 AM
Pasport baharu Malaysia miliki 94 ciri keselamatan, mula dikeluarkan esok

SHAH ALAM, 30 JUN: Jabatan Imigresen akan mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi 94 ciri keselamatan bermula esok.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata peningkatan itu merangkumi elemen visual, tersembunyi dan forensik, sekali gus memperkukuh perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian serta penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.

Antara teknologi keselamatan yang digunakan ialah guilloche, latent image, rainbow printing, line width modulation, hologram dan cetakan ultraungu (UV), selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan keselamatan global yang semakin kompleks.

"Buat permulaan, pasport akan dikeluarkan di 14 pejabat negeri terlebih dahulu termasuk di ibu pejabat bagi fasa pertama dan dijangka selesai hingga fasa ketujuh.

"Melalui peningkatan ciri keselamatan ini, ia lebih selamat dan sukar dipalsukan," katanya kepada pemberita hari ini seperti dilapor BH.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PMA versi baharu itu di reruai Jabatan Imigresen di lobi Dewan Rakyat.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis itu, Zakaria turut menyerahkan pasport baharu kepada Anwar sebagai simbolik pelancarannya.

Beliau berkata PMA baharu ditawarkan dengan tempoh sah laku 10 tahun pada kadar bayaran RM350, manakala pasport lima tahun kekal berharga RM200.

"Namun saya mohon rakyat Malaysia tidak tergesa-gesa menukar sekiranya pasport sedia ada masih sah tempoh lakunya.... hanya yang sudah tamat ataupun yang hendak memohon baharu, bolehlah meneruskannya," katanya.

Menurut Zakaria, Jabatan Imigresen kini mengeluarkan antara 180,000 hingga 220,000 pasport setiap bulan dan jumlah itu dijangka meningkat susulan permintaan terhadap versi baharu.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan pengenalan PMA struktur baharu merupakan satu langkah transformasi penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara selain memberi lebih kemudahan dan nilai tambah kepada rakyat Malaysia.

Bermula esok, warganegara berusia 18 tahun ke atas boleh memilih PMA dengan tempoh sah laku sama ada lima atau 10 tahun mengikut keperluan masing-masing.

Menurut KDN, tempoh sah laku 10 tahun dijangka mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna serta memberi penjimatan RM50 berbanding kos memperbaharui pasport lima tahun sebanyak dua kali dalam tempoh yang sama.

Malaysia yang menjadi antara negara terawal memperkenalkan e-Pasport sejak 1998 turut mengintegrasikan teknologi keselamatan terkini yang mematuhi piawaian International Civil Aviation Organization (ICAO), sekali gus memastikan pasport negara terus diiktiraf sebagai dokumen perjalanan yang selamat dan dipercayai di peringkat antarabangsa.

Selain menampilkan elemen sejarah, warisan budaya dan sistem Raja Berperlembagaan, PMA versi baharu turut memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke's Birdwing sebagai ikon utama menggantikan bunga raya sebagai lambang keunikan biodiversiti negara.

Mesin pencetak generasi baharu yang digunakan pula mampu menghasilkan sehingga 60 pasport sejam bagi memenuhi permintaan semasa.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.