10,000 pengguna manfaat BUDI Diesel pada hari pertama di Semenanjung

28 Jun 2026, 12:47 AM
10,000 pengguna manfaat BUDI Diesel pada hari pertama di Semenanjung

SHAH ALAM, 28 JUN: Pelaksanaan awal BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di Semenanjung bermula semalam mendapat sambutan menggalakkan apabila 10,000 pengguna memanfaatkan skim itu pada hari pertama tanpa sebarang isu dilaporkan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata fasa akses awal berkenaan dibuka selama empat hari sebelum pelaksanaan penuh skim itu bermula Rabu ini.

“Seramai 10,000 pengguna telah memanfaatkan fasa akses awal yang dimulakan untuk pengguna di Semenanjung hari ini (semalam).

“Seterusnya, pelaksanaan penuh merangkumi peniaga kecil serta pemilik pikap dan jip persendirian milik syarikat,” katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau berkata pelaksanaan BUDI Diesel kali ini turut diperkemas dengan mekanisme lebih fleksibel yang membolehkan pemilik kenderaan memindahkan kelayakan subsidi kepada ahli keluarga yang menjadi pengguna sebenar kenderaan.

Menurutnya, penambahbaikan itu dibuat susulan maklum balas orang ramai, terutama melibatkan pengguna di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Kita mengambil maklum keadaan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang menyaksikan ada kalanya anak membeli diesel bagi pihak ibu atau bapa, sedangkan mereka bukan pengguna sebenar kenderaan itu.

“Justeru, sistem baharu ini memberi ruang kepada pemilik kenderaan memindahkan kuota diesel bersubsidi kepada ahli keluarga yang benar-benar menggunakan kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata pemilik kenderaan boleh mengemas kini maklumat pengguna menerusi portal rasmi BUDI MADANI Diesel.

Media sebelum ini melaporkan akses awal BUDI Diesel bermula semalam di Semenanjung dengan pengguna menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter bagi kuota anjal sehingga 200 liter, sebelum kadar itu diselaraskan kepada RM2.10 seliter mulai Rabu ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.