Iran kecam serangan AS, langgar perjanjian damai

27 Jun 2026, 11:01 AM
Iran kecam serangan AS, langgar perjanjian damai

ISTANBUL, 27 JUN: Iran pada Sabtu mengecam serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa lokasi di sepanjang pantai selatannya, sambil menuduh Washington melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pakatan yang baru dimeterai bagi menamatkan perang, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Iran berkata serangan itu menyasarkan kemudahan pengawasan pesisir pantai dan menegaskan semula hak Iran untuk mempertahankan diri, selain memaklumkan bahawa angkatan tenteranya telah melancarkan serangan balas terhadap sasaran berkaitan AS.

Kementerian itu turut menggesa negara-negara Teluk “menghalang mana-mana pihak penceroboh daripada menggunakan wilayah dan kemudahan mereka untuk melakukan tindakan pencerobohan” terhadap Tehran.

Ia juga menyeru PBB dan badan antarabangsa supaya “tidak berdiam diri terhadap pencabulan terang-terangan” undang-undang antarabangsa.

AS pada lewat Jumaat berkata tenteranya menyerang tapak peluru berpandu, dron dan radar Iran selepas menuduh Tehran di sebalik serangan ke atas sebuah kapal komersial yang melalui Selat Hormuz.

Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) kemudian berkata pasukan tentera lautnya menyasarkan kedudukan tentera AS di seluruh rantau itu dan berikrar bertindak balas sekiranya ketegangan terus meningkat.

Awal bulan ini, Tehran dan Washington mencapai memorandum persefahaman 14 perkara yang dimudah cara oleh Pakistan, dan berkuat kuasa pada 18 Jun selepas ditandatangani secara elektronik oleh Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Presiden AS Donald Trump.

Perjanjian itu merangkumi peruntukan untuk menamatkan permusuhan di beberapa medan, termasuk Lubnan, membuka semula Selat Hormuz dan menarik balik sekatan laut AS terhadap Iran, sementara rundingan selama 60 hari diteruskan ke arah perjanjian yang lebih menyeluruh dan berkekalan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.