SHAH ALAM, 28 JUN: Atlet paralayar dari beberapa negeri mula berkampung di Kuala Langat bagi menjalani latihan awal dan menyesuaikan diri dengan keadaan angin serta perairan Selat Melaka menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
Bapa angkat acara paralayar, Datuk Borhan Aman Shah berkata persiapan venue pertandingan berjalan lancar, sekali gus mengukuhkan keyakinan Selangor untuk muncul pencabar utama dalam pemburuan pingat emas.
“Saya lihat prasarana yang disediakan oleh pihak penganjur, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), berada dalam keadaan baik dan segala persiapan berjalan lancar.
“Saya juga mendapati beberapa kontinjen negeri sudah mula berkampung di Kuala Langat untuk menjalani latihan serta menyesuaikan diri dengan keadaan laut di Selat Melaka menjelang pertandingan,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Beliau yakin kontinjen Selangor mampu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri memandangkan atlet negeri itu lebih mengenali lokasi pertandingan.
Katanya, kelebihan tersebut mampu membantu Selangor mencapai sasaran meraih sebanyak mungkin pingat emas meskipun perlu berdepan saingan sengit daripada negeri lain termasuk Terengganu.
Beliau turut berharap penganjuran SUKMA memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat apabila peserta, keluarga dan penyokong dari luar negeri mula memenuhi kawasan sekitar Kuala Langat.
Beliau berkata penduduk, khususnya di Kampung Batu Laut, digalakkan merebut peluang menjana pendapatan dengan menjual produk industri kecil dan sederhana (IKS), selain memberikan layanan terbaik kepada pengunjung.
“Setakat ini saya dimaklumkan semua homestay di kawasan berhampiran sudah penuh ditempah.
“Justeru, manfaatkan penganjuran SUKMA ini supaya kemeriahannya bukan sahaja dirasai oleh para atlet, malah menjadikan pengunjung yang hadir sebagai pelancong yang dapat menikmati tarikan di Kuala Langat,” katanya.
Penganjuran SUKMA di Kuala Langat dijangka bukan sahaja memberi kelebihan kepada kontinjen Selangor dalam acara paralayar, malah merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi komuniti setempat.







