Malaysia perlu percepat bangun teknologi industri dron - PM Anwar

27 Jun 2026, 7:00 AM
Malaysia perlu percepat bangun teknologi industri dron - PM Anwar

SEPANG, 27 JUN: Malaysia perlu mempercepat penerimagunaan dan pembangunan teknologi baharu, terutamanya dalam industri Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) atau dron untuk memperkukuh kedudukan negara dalam ekonomi global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata industri dron yang saling berkait dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, muncul sebagai pemangkin kukuh untuk inovasi, produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

"Jika Malaysia ingin menjadi negara yang lebih berjaya dari segi ekonomi, kita mesti pantas membangunkan teknologi dan bidang baharu.

“Dron berkait dengan teknologi digital dan AI, dan kita perlu membina ekosistem yang sesuai dan wajar untuknya,” kata beliau pada majlis penutup MyDrone Expo 2026 (MDX2026), di sini, hari ini.

Ekspo tiga hari anjuran bersama World UAV Federation (WUAVF) Cawangan Malaysia dengan Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (MUDA) itu menampilkan lebih 100 reruai dan menarik ribuan pengunjung serta perwakilan industri dari 46 negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pasaran UAV global diunjurkan bernilai lebih US$55 bilion menjelang 2030, manakala sektor ekonomi ekosistem ruang udara bersepadu kini menjadi pemacu pelaburan yang semakin penting.

Bagi merebut peluang ini, beliau menggesa penggubal dasar, pertubuhan penyelidikan sains dan semua agensi berkaitan untuk memberikan sokongan kawal selia dan ekosistem yang sepenuhnya kepada industri tersebut.

"Dasarnya jelas. Dron dan industri berkaitan diberi sokongan penuh, bukan sahaja untuk industri tentera udara dan pertahanan tetapi juga untuk aktiviti awam, seperti perladangan, bagi meningkatkan produktiviti," kata beliau.

Bagi memacukan lagi industri ini, Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk menambah baik rangka kerja kawal selia, mempertingkat pembiayaan penyelidikan, pengujian dan pensijilan.

Beliau juga menggesa kerjasama yang lebih erat antara pihak swasta, pertubuhan penyelidikan kerajaan dan universiti untuk merangka pembangunan bakat yang mantap dalam bidang AI dan teknologi fizik kuantum.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.