KUALA LUMPUR, 26 JUN: Seorang ketua sindiket dadah bergelar “Datuk” menjadi antara 291 individu yang ditahan dalam Ops Gaurus yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Perak, Lembah Klang dan Johor, minggu lepas.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek berusia pertengahan 40-an itu dipercayai merupakan ketua kumpulan kongsi gelap yang aktif di negeri-negeri berkenaan.
Beliau berkata dalam operasi dijalankan pada 17 hingga 21 Jun itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin, serbuk dan cecair MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil erimin 5 dan ganja bernilai RM6.26 juta serta menahan sembilan ahli sindiket.
“Modus operandi sindiket pengedaran dadah yang diketuai “Datuk” ini ialah membeli dadah secara pukal dan kemudian membungkus semula untuk dijual di pusat-pusat hiburan.
"Sindiket ini dipercayai aktif beroperasi di sekitar Perak, Lembah Klang dan Johor sejak pertengahan 2024 selain memiliki pelbagai peralatan dan bahan kimia prekursor yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hussein berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas pelbagai jenis kereta antaranya Nissan Sentra, Mazda, Maserati Ghibli, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Mercedes Benz CL250 serta dua utas jam tangan Rolex dan wang tunai RM4,383.
Beliau berkata suspek berusia 19 hingga 74 tahun itu direman dengan lima daripada mereka positif pelbagai jenis dadah dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 selain tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 terhadap semua aset milik sindiket berkenaan.










