CARACAS, 26 JUN: Sekurang-kurangnya 164 orang terkorban manakala 971 lagi cedera dalam dua gempa bumi kuat yang melanda Venezuela, kata Pemangku Presiden negara itu, Delcy Rodriguez pada Khamis, lapor Xinhua.
Rodriguez berkata gempa bumi itu turut mencetuskan kira-kira 30 gempa susulan. Beliau berkata kerajaan kini sedang menyelaraskan sumber di seluruh negara bagi memperkukuh usaha menyelamat di kawasan yang paling teruk terjejas serta menggesa sektor swasta membantu mendapatkan peralatan dan bekalan bagi operasi menyelamat.
Beliau turut menaruh harapan agar jarak penglihatan yang bertambah baik selepas fajar menyinsing membolehkan pasukan penyelamat mempercepat operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Gempa bumi itu merupakan antara yang paling kuat melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad dan gegarannya dapat dirasai di seluruh rantau itu. Gegaran berkenaan turut dirasai hingga ke beberapa bandar di Brazil, kira-kira 1,700 kilometer dari Caracas, ibu negara Venezuela, sehingga menyebabkan bangunan dikosongkan.







