EXCO: Jenayah curi kabel sukarkan pengurusan banjir di Selangor

25 Jun 2026, 1:03 PM
EXCO: Jenayah curi kabel sukarkan pengurusan banjir di Selangor
EXCO: Jenayah curi kabel sukarkan pengurusan banjir di Selangor
EXCO: Jenayah curi kabel sukarkan pengurusan banjir di Selangor

KUALA LANGAT, 25 JUN: Kegiatan mencuri kabel dikenal pasti antara punca yang menyukarkan usaha pengurusan banjir di Selangor, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Datuk Izham Hashim.

Beliau berkata hasil lawatan di Kampung RTB Bukit Changgang di sini, yang ditenggelami air akibat ban pecah, mendapati skru pada pam tidak berfungsi akibat kecurian kabel, sekali gus pengaliran keluar air terjejas.

“Perkara ini saya dah bawa ke mesyuarat exco dan Ketua Polis Selangor, saya ada berbincang supaya dapat diberi perhatian kes kecurian kabel ini.

“… dan ini bukan kejadian pertama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri juga ada kesan kegiatan sama di (projek) Kuala Selangor,” katanya ketika ditemui selepas melawat Ban Bukit Changgang, di sini hari ini.

Izham berkata akibat kegiatan terbabit Kerajaan Negeri terpaksa menambah perbelanjaan antara RM200,000 hingga RM300,000 bagi menggantikan kerosakan akibat kecurian kabel.

Beliau berkata sebagai langkah awal mengatasi masalah terbabit pihaknya sedang mempertimbangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta langkah keselamatan yang sesuai agar jenayah terbabit dapat dibendung.

Mengulas lanjut, Izham berkata kerja-kerja baik pulih ban berkenaan dijangka memakan masa dua hari, susulan pemeriksaan mendapati kerosakan berlaku di kawasan selekoh sungai yang merupakan kawasan sensitif.

“Langkah awal yang telah kita laksanakan, antaranya menimbus kembali tanah dan memasang batu penampam … . Selain itu, dua pam mudah alih juga diletakkan bagi proses pengaliran keluar air yang menenggelami kawasan berkenaan," katanya.

Menurut laman web Infobencana JKM sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang telah dibuka bagi menempatkan 423 mangsa daripada 199 keluarga setakat petang ini.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.