KUALA KUBU BHARU, 25 JUN: Selangor akan mengurangkan beberapa acara istiadat sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sebagai langkah penjimatan kos tanpa menjejaskan prestij temasya tersebut.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tumpuan akan diberikan kepada penganjuran aktiviti sukan di setiap lokaliti dan venue pertandingan bagi menarik lebih ramai penonton serta penyokong.
“Kita akan kurangkan beberapa acara istiadat. Sebaliknya, kita akan memberi fokus kepada aktiviti sukan di setiap lokaliti dan venue supaya lebih ramai penonton dan penyokong hadir memeriahkan temasya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan bumbung (topping-off) Chery Smart Auto Industrial Park, Lembah Beringin di sini hari ini.
Beliau berkata langkah berkenaan dilaksanakan susulan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mahu penganjuran SUKMA 2026 dilaksanakan secara lebih berhemah.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri memaklumkan temasya itu akan dianjurkan selaras dengan nasihat Baginda supaya kos dapat dikurangkan dan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan kualiti penganjuran.
Amirudin berkata penganjuran SUKMA 2026 turut diperkasakan menerusi pelbagai program bagi menarik kehadiran penonton, peminat sukan dan sukarelawan.
“Alhamdulillah, kerajaan negeri telah memutuskan untuk menggerakkan 10,000 sukarelawan berdaftar.
“Secara keseluruhan, kita menerima 30,000 permohonan beberapa bulan lalu dan daripada jumlah itu, 10,000 akan dipilih sebagai sukarelawan SUKMA,” katanya.
Beliau berkata penglibatan sukarelawan dalam skala besar itu dijangka membantu menyemarakkan suasana temasya selain memastikan kelancaran penganjuran di semua venue pertandingan.
Selangor akan menjadi tuan rumah SUKMA ke-22 dari 15 hingga 24 Ogos ini dengan pertandingan berlangsung di kesemua sembilan daerah negeri ini, kecuali acara berbasikal trek yang akan diadakan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
Temasya PARA SUKMA pula dijadual berlangsung dari 5 hingga 14 September 2026.







