SEPANG, 7 JAN: Selangor merancang penginapan lebih fleksibel bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, dengan penempatan atlet dan pegawai kontinjen disusun mengikut lokasi venue pertandingan bagi mengurangkan masa perjalanan serta kesesakan trafik.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Selangor memilih pendekatan berbeza berbanding konsep perkampungan sukan sepenuhnya seperti dilaksanakan tuan rumah sebelum ini.
“Pada SUKMA di Sarawak tahun lalu, mereka menyediakan perkampungan sukan dan turut menggunakan universiti sebagai penginapan kontinjen.
“Di Selangor, kita mungkin mengambil pendekatan lebih fleksibel dengan menyediakan penginapan mengikut lokasi venue supaya atlet lebih mudah bergerak ke lokasi pertandingan. Jika jarak terlalu jauh, kita akan mencari penginapan yang lebih dekat.
“Sebab kita tidak mahu atlet nanti terbeban untuk bangun terlalu awal atau mungkin perlu harungi kesesakan trafik yang mana kalau kita tengok di Selangor ini, masalah utama kita adalah kesesakan lalu lintas,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Terdahulu, Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII dan PARA SUKMA Selangor 2026 tiba dari Sarawak selepas mengetuai delegasi Selangor membawa pulang obor SUKMA daripada tuan rumah edisi lalu.
Mengulas lajut, beliau berkata kontinjen dibenarkan mendapatkan penginapan di hotel atau inap desa pada kadar yang akan dirundingkan bersama pengusaha terlibat.
“Persatuan sukan dan kontinjen boleh memilih untuk menginap di hotel atau inap desa, namun kadar penginapan akan dirundingkan terlebih dahulu,” katanya.
Selain itu, penggunaan kolej kediaman institusi pengajian tinggi turut dipertimbangkan sebagai alternatif penginapan.
“Jika ada kontinjen yang mahu menginap di perkampungan sukan, kita juga akan berunding dengan pihak IPT seperti UiTM untuk menggunakan kolej kediaman,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Najwan memaklumkan persiapan penganjuran temasya dwitahunan itu kini mencapai kira-kira 80 peratus, melibatkan kerja naik taraf infrastruktur dan fasiliti sukan di seluruh negeri yang disasar siap sepenuhnya pada April ini.
Menurutnya, dua venue utama yang sedang menjalani kerja naik taraf menyeluruh ialah Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE), Seksyen 13 Shah Alam dan Lapangan Sasar Menembak Subang.
“PADE kali terakhir digunakan semasa SUKMA 1998. Ini merupakan kerja naik taraf utama selepas hampir 30 tahun, melibatkan penambahbaikan kemudahan teknologi termasuk sistem sensor,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran acara e-sukan pula akan berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati dan bukannya di Hotel Carlton seperti perancangan awal.
“Hotel Carlton kini dalam proses menyelesaikan beberapa isu pentadbiran melibatkan Pejabat Tanah dan MBI sebagai agensi penyelia bangunan, jadi ia mungkin mengambil sedikit masa,” katanya.



