PETALING JAYA, 25 JUN: Institut Akhbar Malaysia (MPI) menerima sumbangan berjumlah RM1.037 juta bagi menjayakan penganjuran Malam Wartawan Malaysia (MWM) yang berlangsung 17 Julai ini.
Ketua pegawai eksekutifnya Dr Ainol Amriz Ismail berkata jumlah terkumpul setakat hari ini melibatkan sumbangan 60 organisasi, dengan RM450,000 ditaja syarikat petroleum negara, Petronas.
Menurut beliau, MWM yang akan berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur dan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat.
“Sokongan membolehkan program berprestij ini dijayakan selain mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kewartawanan profesional, beretika dan dipercayai.
“MPI juga mampu melaksanakan pelbagai program pembangunan profesional, latihan industri dan inisiatif bermanfaat kepada komuniti media,” katanya berucap pada majlis meraikan penyumbang MWM 2026 hari ini.
Dr Ainol Amriz berkata hubungan antara media dan industri perlu diperkukuh berasaskan kepercayaan, kredibiliti dan profesionalisme bagi membangunkan lagi sektor media dan kewartawanan negara.
“Media memerlukan sokongan industri untuk menghasilkan kandungan berkualiti, bakat baharu serta mengekalkan kelestarian organisasi.
“Sektor korporat memerlukan media yang profesional, berwibawa dan dipercayai untuk menyampai maklumat, membina reputasi serta menghubungkan organisasi dengan masyarakat,” katanya.
Selain Petronas, penyumbang terdiri dari pelbagai pihak termasuk organisasi korporat, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Acara tahunan itu turut mendapat sokongan organisasi media antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka, Media Mulia Sdn Bhd, Media Selangor Sdn Bhd serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).










