SHAH ALAM, 20 DIS: Malaysia Press Institute (MPI) menyifatkan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang dibuka mulai Januari depan sebagai langkah strategik kerajaan untuk mempercepat transformasi industri media tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ainol Amriz Ismail berkata inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan memastikan ekosistem media negara kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan selaras cabaran era digital serta perkembangan pesat teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI).
“MPI melihat Dana Inovasi Media ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi pemangkin kepada inovasi dan peralihan media ke arah model kewartawanan yang lebih kreatif, berimpak dan berorientasikan teknologi.
"Ia juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan insan, kemampanan dan daya saing nasional,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ainol, tumpuan dana terhadap latihan pekerja media, adaptasi teknologi, perisian, peralatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kandungan adalah selari dengan keperluan sebenar industri yang kini berdepan perubahan landskap media, tingkah laku khalayak dan keperluan kandungan digital.
“MPI berpandangan bahawa aspek pembangunan kompetensi wartawan dan pengamal media melalui latihan berstruktur adalah kunci utama kejayaan transformasi industri.
"Media masa kini bukan sahaja perlu pantas tetapi juga berfakta, beretika dan mampu memanfaatkan teknologi baharu seperti automasi, analitik data serta platform digital secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut menyifatkan syarat kelayakan danatermasuk pendaftaran dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan pemilikan Kad Perakuan Media aktif sebagai langkah penting memastikan penyaluran dana dibuat secara berintegriti serta memberi manfaat kepada organisasi media yang benar-benar komited terhadap profesionalisme.
MPI, jelasnya, sedia bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan pihak berkepentingan lain bagi menyokong pelaksanaan dana itu, khususnya melalui peranan majlis tersebut sebagai institusi latihan profesional dalam memperkukuh kapasiti, kemahiran dan kesiapsiagaan pengamal media menghadapi masa depan industri.
“Usaha ini wajar dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara terhadap industri media yang berperanan strategik dalam menyampaikan maklumat tepat, membentuk wacana awam serta menyokong pembangunan negara dalam ekosistem digital yang semakin kompleks,” katanya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Dato' Fahmi Fadzil mengumumkan Dana Inovasi Media bagi Fasa 1 akan dibuka bermula dari 1 hingga 14 Januari 2026 bertujuan menyokong transformasi industri media negara agar kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era digital.
Fahmi berkata dana itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 berhubung pemberian bantuan dana berjumlah RM30 juta.



