Curi kabel: 85 ditahan, nilai rampasan lebih RM600,000

24 Jun 2026, 1:00 PM
Curi kabel: 85 ditahan, nilai rampasan lebih RM600,000

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Polis Kuala Lumpur menerima 71 laporan kes kecurian kabel dengan 85 tangkapan dibuat bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini melibatkan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM600,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata tangkapan itu melibatkan curi kabel telekomunikasi (50), curi kabel rel (17) dan 18 lagi kes kecurian kabel lain-lain dengan 67 kertas siasatan dibuka manakala 12 kes dituduh di mahkamah.

“Jumlah keseluruhan rampasan barang kes adalah 357 unit dengan nilai rampasan berjumlah RM629,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri, melibatkan perbuatan mengambil harta alih milik orang lain tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan apa-apa tindakan atau peninggalan sengaja, tidak jujur atau cuai, memanjangkan, mengusik, mengubah suai, mengubah, mengeluarkan, memusnahkan atau merosakkan apa-apa kemudahan rangkaian atau mana-mana bahagian daripadanya.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Fadil berkata kecurian kabel merupakan jenayah yang menyebabkan kerugian harta benda, memberi kesan langsung terhadap keselamatan awam, ekonomi dan kelancaran perkhidmatan termasuk gangguan terhadap perkhidmatan komunikasi, operasi perniagaan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Katanya, selain mengakibatkan peningkatan kos penyelenggaraan infrastruktur dan kerugian kepada pihak utiliti dan pengguna, ia turut mengganggu aktiviti ekonomi, mengurangkan produktiviti, risiko kehilangan pendapatan dan meningkatkan risiko kemalangan termasuk renjatan elektrik serta kebakaran.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata polis menerima 205 laporan kes kecurian kabel pada tahun lalu dan 171 tangkapan dibuat melibatkan curi kabel telekomunikasi (103), curi kabel rel (28) dan lain-lain kecurian kabel (40), dengan 193 kertas siasatan dibuka dan 60 kes dituduh mahkamah.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.