Pelancongan domestik jana RM34 bilion, rekod 74.7 juta pelawat pada suku pertama 2026

24 Jun 2026, 8:27 AM
Pelancongan domestik jana RM34 bilion, rekod 74.7 juta pelawat pada suku pertama 2026

PUTRAJAYA, 24 JUN: Perbelanjaan pelancongan domestik merekodkan RM34.0 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 15.8 peratus pada suku pertama 2026, menurut Survei Pelancongan Domestik Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

DOSM dalam kenyataan memaklumkan sektor pelancongan domestik Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan pada suku pertama 2026 dengan jumlah pelawat domestik merekodkan 74.7 juta orang, meningkat 7.2 peratus tahun ke tahun.

Prestasi ini turut menyokong kepada pertumbuhan 0.9 peratus suku ke suku berbanding suku keempat 2025, mencerminkan kestabilan yang berterusan dalam permintaan perjalanan domestik.

“Pertumbuhan ini didorong oleh perjalanan semasa musim perayaan dan cuti umum sepanjang suku itu, khususnya Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri yang lazimnya merangsang aktiviti pelancongan domestik termasuk aktiviti mengunjungi saudara-mara serta percutian keluarga.

“Tempoh perayaan ini menyumbang kepada peningkatan pergerakan pelawat serta pengukuhan aktiviti pelancongan di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbelanjaan pelancongan domestik merekodkan RM34.0 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 15.8 peratus, menunjukkan ia bukan hanya disumbangkan oleh peningkatan aktiviti perjalanan, malah pertambahan purata perbelanjaan setiap pelawat.

Ketua Perangkawan Malaysia Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Secara suku ke suku, jumlah perbelanjaan meningkat 4.5 peratus, memberi indikasi daya tahan berterusan dalam aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan,” katanya.

Mohd Uzir berkata prestasi positif itu turut disokong oleh pertumbuhan indikator utama, antaranya trafik lebuh raya yang meningkat 1.0 peratus, jualan runcit bahan api meningkat 8.0 peratus dan ketibaan penumpang udara domestik bertambah 9.6 peratus tahun ke tahun, mencerminkan peningkatan mobiliti serta permintaan perjalanan domestik.

Sektor penginapan juga menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila hasil sektor itu meningkat sebanyak 15.4 peratus, sejajar dengan peningkatan permintaan pelancongan.

Kadar penghunian hotel bertaraf empat bintang dan tiga bintang masing-masing meningkat kepada 62.9 peratus (ST1 2025: 62.4 peratus) dan 70.4 peratus (ST1 2025: 69.3 peratus) yang mencerminkan kecenderungan semakin meningkat dalam kalangan pelancong terhadap pilihan penginapan kategori pertengahan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.