SHAH ALAM, 24 JUN: Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda ekonomi kreatif dan pemeliharaan warisan tempatan menerusi cadangan penganjuran KRAF Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026, yang bakal memberi tumpuan kepada pengembangan industri batik dan seni telepuk sebagai aset ekonomi negeri.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata cadangan itu telah dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ketika beliau bersama delegasi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif Selangor menghadap Baginda di Istana Bukit Kayangan, semalam.

“Saya telah menyembah maklum mengenai cadangan Kerajaan Negeri untuk menganjurkan KRAF Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026.
“Inisiatif tersebut bertujuan mengangkat industri batik dan warisan seni telepuk sebagai aset ekonomi negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Selain membincangkan cadangan berkenaan, Najwan turut menyembahkan cenderamata kepada Tengku Permaisuri Selangor berupa sebuah karya catan akrilik atas kanvas hasil sentuhan graduan seni lukis dan seni reka, Syafiqah Sanusi.
Karya tersebut menampilkan motif kain batik sarung dengan sentuhan tiga dimensi yang menyerlahkan kehalusan teknik seni, sekali gus mencerminkan keunikan serta nilai estetika warisan batik tempatan.









