Naikkan saman sahaja tidak cukup selesaikan krisis keselamatan jalan raya

24 Jun 2026, 6:00 AM
Naikkan saman sahaja tidak cukup selesaikan krisis keselamatan jalan raya

Menaikkan kadar saman semata-mata tidak akan menyelesaikan krisis keselamatan jalan raya di Malaysia. Menaikkan kompaun adalah langkah yang betul. Tetapi ketiadaan tindakan susulan adalah satu kesilapan besar.

Biar saya sebut dari awal: saya menyokong penuh saman yang lebih berat. Jika pemanduan melulu di Malaysia dikenakan kompaun RM2,000 bagi setiap kesalahan, saya orang pertama yang akan bersetuju.

Namun, pembentangan pindaan undang-undang lalu lintas minggu ini berdepan satu paradoks matematik yang cukup nyata:

Jika seorang pemandu sudah pun mengabaikan 10 saman tertunggak bernilai RM300 setiap satu selama ini, apakah yang akan mendorongnya untuk membayar saman yang ke-11 hanya kerana samannya sudah naik kepada RM500?

Jawapan jujur - tiada apa-apa.

Dari sudut penguatkuasaan, nilai sehelai kertas saman RM500 yang tidak dikutip adalah sama dengan saman RM300 yang tidak dijelaskan —iaitu sifar.

Ketiadaan jawapan yang meyakinkan kepada persoalan ini mendedahkan realiti krisis keselamatan jalan raya kita jauh lebih mendalam berbanding apa-apa angka kompaun.

Sains sudah lama membuktikannya

Kajian kriminologi antarabangsa selama berdekad-dekad merumuskan satu fakta yang konsisten: kepastian peluang untuk ditangkap—bukannya bergantung tahap berat hukuman itu—yang mengubah tingkah laku manusia.

• Paradoks Norway (Elvik & Christensen, Journal of Safety Research, 2007): Norway menaikkan saman memandu laju sehingga 150% sejak satu dekad lalu. Perubahan sikap pemandu yang direkodkan: SIFAR.

• ‘Backfire’ di Queensland (Watson et al., Accident Analysis and Prevention, 2015): Selepas Australia memperkenalkan hukuman memandu laju yang lebih ketat, pesalah tegar tidak memperlahankan kenderaan. Malah, tempoh masa antara kesalahan pertama dan kedua mereka menjadi semakin singkat.

• Analisis Meta Elvik (2016, 43 titik data antarabangsa): Kenaikan denda sehingga 50% tidak menghasilkan sebarang perubahan ketara dari segi statistik terhadap pelanggaran trafik, termasuk dalam kalangan pesalah berulang.

• Peraturan Emas (Institut Keadilan Nasional Amerika Syarikat, NCJ 247350): Peluang untuk ditangkap adalah pencegah yang jauh lebih berkesan berbanding hukuman yang paling mundur sekalipun.

• Kesimpulan Nagin (Carnegie Mellon University, 2013): Selepas mengkaji 50 tahun data pencegahan global, Profesor. Daniel Nagin menyimpulkan bahawa kepastian peluang untuk ditangkap, bukan kezaliman hukuman, yang membetulkan sikap.

Aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan, Shahrim Tamrin. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Bagaimana negara luar mengendali pesalah degil

Malaysia sebenarnya tidak ketandusan contoh untuk dirujuk di peringkat antarabangsa:

• United Kingdom: Kenderaan agensi penguatkuasaan dilengkapi kamera Automatic Number Plate Recognition (ANPR) yang menyemak setiap plat yang melintas dengan pangkalan data secara langsung. Kenderaan yang disenarai hitam (tiada lesen, tiada insurans, atau bertimbun saman) akan dikunci tayar (clamp) atau ditarik serta-merta. Tiada sekatan jalan raya. Tiada amaran. Tiada budi bicara.

• Australia (Queensland): Di bawah undang-undang “hoon laws”, kenderaan yang dipandu oleh individu tanpa lesen atau penghutang tegar saman akan disita serta-merta. Gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan, kerajaan akan melelong atau menghancurkan kenderaan tersebut. Ini terpakai kepada mana-mana kenderaan tanpa mengira siapa pemiliknya dan telah memaksa ibu bapa, majikan, dan syarikat sewa kereta menjaga sendiri kunci mereka.

• Emiriah Arab Bersatu (UAE): Pesalah berulang berdepan sitaan kenderaan 60 hari sebelum dilelong awam jika saman tertunggak gagal dibayar. Di Abu Dhabi, lima pesalah bukan sahaja kereta mereka dilelong, malah dijatuhkan hukuman menyapu sampah di tempat awam selama tiga bulan.

• Austria: Pandu melebihi had laju sebanyak 60 km/j di kawasan bandar, kereta anda dirampas di tempat kejadian selama dua minggu. Buat kali kedua, atau pandu melebihi 80 km/j, kereta tersebut dirampas secara kekal untuk dilelong.

• Finland: Menggunakan sistem "denda harian" (day fine) yang dikira mengikut pendapatan harian pesalah. Seorang eksekutif Nokia pernah didenda €116,000 hanya kerana memandu 75 km/j di zon 50 km/j. Tahap kegerunan yang adil untuk semua kelas pendapatan rakyat.

• Amerika Syarikat: Mahkamah mengeluarkan perintah potong gaji dan akaun bank secara automatik (garnishee order) untuk saman yang tidak dibayar. Di San Diego, kereta yang dirampas daripada pelumba haram dihancurkan di bawah perintah mahkamah.

Keadaan di Malaysia: Memberi ganjaran kepada orang yang salah

Kita tidak perlukan data luar. Malaysia ada buktinya sendiri yang terkumpul selama berdekad-dekad menerusi ‘Kempen Diskaun Saman’.

"Karnival jualan murah" saman ini sudah menjadi acara tradisi penguatkuasaan kita. Malah, pihak polis sendiri mengakui terdapat hampir RM6.5 bilion saman tertunggak yang tidak dibayar dalam tempoh 35 tahun kebelakangan.

Tidak kira apa pun alasan kerajaan di sebalik program diskaun ini, isyarat adalah jelas kepada pengguna jalan raya: tidak bayar saman lalulintas adalah strategi yang lebih menguntungkan daripada mematuhi undang-undang.

Dengan menawarkan harga runtuh secara berkala untuk membersihkan tunggakan, sistem ini secara tidak sengaja memberi ganjaran kepada si pelanggar undang-undang dan menghukum rakyat jujur yang jelaskan saman seawall mungkin.

Malaysia mungkin satu-satunya negara di rantau ini yang menganjurkan "kempen promosi bermusim" untuk pesalah trafik dan juga sistem mata demerit KEJARA pun langsung tidak digeruni oleh rakyat marhaen.

Rakyat berhak bertanya: adakah dasar penguatkuasaan kita bermatlamat membuang pemandu berbahaya dari jalan raya, atau sekadar mahu menjana pendapatan?

Masalah keselamatan jalan raya tidak boleh diselesaikan dengan menaikkan saman semata-mata, sebaliknya memerlukan reformasi penguatkuasaan yang menyeluruh dan konsisten.

Kesan yang orang gentar mahu sebut

Ada satu kesan sampingan yang jauh lebih berbahaya di sebalik cadangan kompaun RM500 ini yang memerlukan kejujuran kita.

Apabila hutang saman yang terkumpul mencecah angka yang dirasakan 'mustahil untuk dibayar', pesalah tegar tidak akan tiba-tiba berubah menjadi pemandu berhemah—mereka akan ghaib sepenuhnya dari sistem pemandu. Mereka berhenti memperbaharui lesen. Mereka abaikan cukai jalan dan insurans.

Pada kadar RM300 dengan berpuluh-puluh saman tertunggak pun mereka sudah hidup tegar langgar undang-undang. Pada kadar RM500, yang berubah hanyalah matematiknya, bukannya perangai mereka.

Hasilnya? Kita sedang membiakkan populasi "pemandu hantu"—tiada lesen, tiada insurans, dan ghaib dari radar rasmi—dan jangan kita lupa mereka berkongsi lebuh raya dengan rakyat Malaysia yang patuh undang-undang.

Mekanisme untuk memastikan kenaikan saman ini ada ‘gigitan’

Kenaikan yang dicadangkan ini dialu-alukan. Tetapi angka denda tanpa infrastruktur penguatkuasaan hanyalah sekadar dakwat di atas kertas. Jika Parlimen mahu kompaun RM500 ini menyelamatkan nyawa dan bukan sekadar menambah kerja kerani, lima langkah ini wajib dilancarkan bersama:

1. Penguatkuasaan Jitu melalui ANPR

Mekanisme: Lengkapkan kenderaan peronda JPJ dengan kamera ANPR (Automatic Number Plate Recognition) yang dipautkan ke pangkalan data terkini. Mana-mana kenderaan dengan lesen digantung, saman tertunggak melambak, atau cukai jalan tamat tempoh akan dikunci tayar (clamp) atau ditarik serta-merta.

Objektif: Mengubah corak penguatkuasaan daripada bermusim kepada pemantauan rawak di mana-mana sahaja.

2. Sita kenderaan, bukan pemandu

Mekanisme: Adaptasi undang-undang pelupusan kenderaan ala Queensland. Kereta yang dipandu oleh individu tanpa lesen atau pesalah tegar disita serta-merta, tidak kira nama siapa yang tertera pada geran. Langsai hutang dalam tempoh tertentu, atau kereta itu dilelong/dilupuskan.

Objektif: Apabila ibu bapa, majikan, atau syarikat sewa kereta berdepan risiko kehilangan aset fizikal, tugas ‘menapis pemandu’ dengan pesalah trafik tegar akan berpindah dari bahu polis ke masyarakat dan industri.

3. Pautkan rekod pemanduan dengan premium insurans

Mekanisme: Selaraskan pangkalan data MySikap JPJ dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM). Sejarah rekod buruk pemandu akan mengubah kadar premium insurans mereka secara automatik setiap kali tiba perlu pembaharuan cukai jalan.

Objektif: Pada masa sekarang, pemandu dengan 50 saman tertunggak menikmati Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) yang sama dengan pemandu yang begitu berhemah di jalan raya. Jadikan sikap rakus itu mahal. Di negara maju, pemandu lebih takutkan kadar insurans berbanding surat saman polis.

4. Perintah potongan gaji automatik (Garnishee Order)

Mekanisme: Berikan mahkamah kuasa statutori untuk memotong gaji atau akaun bank secara automatik bagi mana-mana kompaun yang tidak dibayar selepas 60 hari—sama seperti mekanisme yang digunakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk cukai tertunggak.

Objektif: Kompaun trafik bukan sesuatu yang diberikan tawar-menawar.

5. Lancarkan sistem maklumat pemandu komersial (DIS)

Mekanisme: Realisasikan pangkalan data pemandu komersial berpusat yang dicadangkan oleh SPAD pada tahun 2017, bagi menjejak sejarah kesalahan dan status lesen pemandu kenderaan berat merentas semua syarikat logistic dan pengangkutan.

Objektif: Kita sekarang berada di tahun 2026. Agensi pentadbiran telah tidur selama sembilan tahun. Pemandu kenderaan berat berisiko tinggi berterusan tukar kerja dari satu syarikat ke syarikat lain kerana ketiadaan sistem tapisan berpusat. Dengan adanya sistem terbuka, aplikasi MyJPJ, dan MyDigital ID, alasan "kos tinggi" sudah tidak boleh pakai. Untuk rekod, nahas jalan raya membabitkan kenderaan berat adalah tinggi di Malaysia.

Tolong jangan sia-siakan ‘peralihan 24 bulan' ini

Cadangan tempoh peralihan dua tahun oleh kerajaan sebelum kadar kompaun baharu dikuatkuasakan tidak boleh dianggap sebagai ‘tempoh bertenang untuk rakyat menyesuaikan diri’.

Ia mesti berfungsi sebagai tapak pembinaan yang aktif untuk membina kesemua infrastruktur penguatkuasaan sepertimana disebut di atas.

Rekod keselamatan jalan raya Malaysia tidak pernah ketandusan idea atau kertas kerja. Ia cuma ketandusan kehendak politik yang terlampau selesa dalam ketagihan kitaran yang berikut:

Tragedi menyayat hati --> Pacak sekatan jalan raya & ‘operasi bermusim’ --> Lancar kempen diskaun 70% --> Buat-buat terkejut tengok statistik tinggi nahas maut --> ULANG.

Keselamatan jalan raya bukan semata-mata dilihat hukuman atau denda seolah-olah garang di atas kertas.

Keselamatan jalan raya hanya wujud apabila undang-undang diterjemahkan secara konsisten, dan tanpa pengecualian.

Menaikkan angka kompaun tanpa mengetatkan disiplin, penguatkuasaan konsisten dan bayangan untuk ditangkap hanya akan meninggalkan Malaysia dengan satu perkara yang kita sudah banyak hadapi: *timbunan kertas saman yang tidak berbayar*.

Shahrim Tamrin, aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.