MB: Pakej Daya Tahan dibahas ambil kira pandangan pembangkang

23 Jun 2026, 5:10 AM
MB: Pakej Daya Tahan dibahas ambil kira pandangan pembangkang
MB: Pakej Daya Tahan dibahas ambil kira pandangan pembangkang

SHAH ALAM, 23 JUN: Pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dalam sidang khas memberi ruang kepada wakil rakyat termasuk pembangkang menyuarakan pandangan demi kesejahteraan rakyat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan pihaknya mahu memastikan setiap cadangan dan maklum balas dipertimbang terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan.

Beliau berkata Ahli Dewan Negeri (ADN) merupakan sebahagian daripada proses membuat keputusan kerajaan dan mempunyai peranan penting dalam membantu membentuk dasar yang lebih berkesan.

“Kenapa kita tidak guna kaedah lazim umum dan laksana segera? Sebab lihat ada ruangan keterlibatan keseluruhan mekanisme dan struktur kerajaan dalam menangani hal ini.

“Justeru, kita bawa ke dewan supaya ahli dewan ada pandangan dan cadangan balas yang boleh dipertimbang,” katanya pada sesi penggulungan pakej itu di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurut Amirudin, pendekatan itu bukan asing bagi pentadbiran negeri yang sebelum ini turut membawa beberapa isu penting untuk dibincangkan dalam dewan termasuk insiden Putra Heights.

Beliau berkata langkah itu juga membuka ruang kepada dialog yang lebih luas bagi memastikan pelaksanaan pakej berkenaan benar-benar berkesan dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Ini tindakan keseluruhan kerajaan dan iktiraf peranan pembangkang dan semua terlibat termasuk penjawat awam, agensi berkaitan kerajaan (GLC) supaya dapat menanganinya bersama.

“Sidang khas dipanggil (untuk) beri ruang sampaikan pandangan dan menyemak kembali program keberkesanan pada rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan Selangor berjaya mengurangkan kira-kira 80 peratus lawatan kerja ke luar negara sebagai sebahagian langkah penjimatan susulan ketidaktentuan ekonomi semasa.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menyusun semula keutamaan perbelanjaan dengan menangguhkan atau menggugurkan beberapa program tidak kritikal termasuk majlis keraian.

“80 peratus lawatan ke luar negara dikurangkan, memulakan bekerja dari rumah bagi mengelakkan tekanan sumber bahan api penjawat awam dan rantaian pekerja bawah Kerajaan Negeri,” katanya.

Selangor memperuntuk RM355.06 juta bagi melaksanakan dua fasa pakej tersebut untuk mendepani krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Sebanyak RM145.8 juta disediakan bagi melaksanakan tujuh inisiatif dalam fasa satu, manakala selebihnya bagi fasa dua merangkumi 15 inisiatif baharu yang diumumkan pada 19 Jun.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.