Argentina menang 2-0, Messi terus cipta sejarah di pentas Piala Dunia

23 Jun 2026, 1:02 AM
Argentina menang 2-0, Messi terus cipta sejarah di pentas Piala Dunia

ISTANBUL, 23 JUN: Lionel Messi mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia apabila meledak dua gol untuk membantu juara bertahan Argentina menewaskan Austria 2-0 pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.

Bintang Argentina itu membuka jaringan pada minit ke-38 selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada awal permainan apabila percubaannya pada minit kesembilan tersasar tipis di sebelah kanan tiang gol.

Kapten Argentina berusia 39 tahun itu kemudian melengkapkan kemenangan pasukannya pada masa kecederaan menerusi gol kedua, sekali gus menjadikan jumlah jaringannya dalam sejarah Piala Dunia kepada 18 gol.

Dua gol berkenaan turut menyaksikan Messi menjaringkan gol dalam enam perlawanan Piala Dunia berturut-turut, menyamai pencapaian yang pernah dilakar pemain Perancis, Just Fontaine dan legenda Brazil, Jairzinho.

Minggu lalu, Messi menyamai rekod 16 gol milik bekas penyerang Jerman, Miroslav Klose, selepas menjaringkan hatrik dalam kemenangan 3-0 Argentina ke atas Algeria dalam aksi Kumpulan J di Kansas City.

Jaringan bergandanya ke atas Austria itu membolehkan beliau mengatasi Klose untuk menduduki tangga teratas senarai penjaring sepanjang zaman kejohanan berprestij itu.

Perlawanan berkenaan turut mencatat satu lagi rekod apabila Messi membuat penampilan ke-28 di Piala Dunia, yang merupakan penampilan terbanyak dalam sejarah kejohanan , selain menjadi pemain pertama beraksi dalam enam edisi PialaDunia.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.