Selangor terus bantuan bersasar, pengecualian cukai taksiran fokus golongan layak

23 Jun 2026, 2:00 AM
Selangor terus bantuan bersasar, pengecualian cukai taksiran fokus golongan layak

SHAH ALAM, 23 JUN: Selangor akan terus melaksanakan langkah bantuan bersasar dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan, kata EXCO Pembangunan Desa dan Perpaduan Dato’ Rizam Ismail.

Menurut beliau, Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM355.06 juta membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap rakyat dan sektor perniagaan yang berdepan tekanan ekonomi. Beliau menambah, langkah-langkah tersebut dapat dilaksanakan hasil penstrukturan semula fiskal dan inisiatif penjimatan kos.

Menjawab cadangan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya pengecualian cukai taksiran diberikan secara menyeluruh kepada rumah kampung tradisional, Rizam berkata Kerajaan Negeri tidak melaksanakan bantuan secara pukal, sebaliknya mengamalkan pendekatan bersasar untuk membantu kumpulan yang layak.

“Melalui Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor, Kerajaan Negeri menyediakan pengecualian cukai taksiran kepada pemilik rumah kampung tradisional yang layak bagi meringankan beban kumpulan sasar, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

“Antara syarat kelayakan pengecualian cukai ini ialah warganegara Malaysia yang menetap di Selangor, pemilik berdaftar hartanah berkenaan, memiliki rumah kediaman berkeluasan bawah 2,000 kaki persegi (186 meter persegi), memohon bagi satu akaun atau satu rumah sahaja, serta mempunyai pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah sebulan.

“Pada peringkat ini, pelaksanaan dasar pengecualian cukai taksiran secara bersasar merupakan langkah proaktif terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan. Namun, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk meneliti semula langkah ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, semalam.

Pada 19 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bernilai RM209.26 juta bagi membantu komuniti dan sektor perniagaan menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi global. Pakej itu melengkapkan pelbagai inisiatif di bawah SREP Fasa 1 bernilai RM145.8 juta.

Mengulas kebimbangan berhubung penyampaian maklumat mengenai inisiatif Kerajaan Negeri, Rizam berkata semua 373 Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan ketua kampung telah dilantik sebagai ejen komunikasi barisan hadapan bagi memastikan masyarakat di peringkat akar umbi sentiasa mendapat maklumat terkini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Selangor sedang memperkukuh sekuriti makanan menerusi pembangunan rantaian bekalan berasaskan koperasi, termasuk pelaksanaan hab pengeluaran dan pengedaran perintis di Sabak Bernam, bagi memperkemas hubungan antara pengeluar dan pengguna serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Menurutnya, inisiatif tersebut berpotensi menurunkan harga kepada pengguna selain meningkatkan pulangan pendapatan petani, nelayan dan usahawan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.