BANGI, 22 JUN: Ibu bapa perlu menyesuaikan pendekatan mendidik anak-anak dengan cabaran dan realiti semasa, bukan hanya berpandukan pengalaman generasi terdahulu.
Pendakwah bebas Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan berkata perkembangan teknologi dan pengaruh media sosial telah mengubah cara anak-anak belajar, berfikir dan berinteraksi berbanding generasi ibu bapa mereka.
"Bukan hendak menyalahkan mereka, tetapi didiklah anak pada zaman mereka, bukan zaman kamu," katanya ketika menjadi panel Forum Perdana bertajuk Isu Semasa, Cabaran Sosial dan Penyelesaian Islamik Berlandaskan Al-Quran di sini semalam.
Menurut beliau, al-Quran memberi penekanan besar terhadap institusi keluarga dengan perincian jelas berhubung kekeluargaan dan pendidikan anak-anak.
“Al-Quran membicarakan pelbagai perkara, tetapi soal keluarga dihuraikan secara terperinci, bermula sebelum perkahwinan, ketika berumah tangga sehinggalah pembahagian harta pusaka selepas kematian.
“Malah, soal nafkah dan pewarisan diterangkan dengan jelas dalam al-Quran,” katanya.
Beliau berkata al-Quran bukan sekadar kitab yang mengandungi hukum-hakam, sebaliknya sarat dengan panduan kehidupan berkeluarga.
“Dalam Surah Luqman, Allah SWT mengangkat kisah seorang bapa mendidik anak walaupun Luqman bukan seorang nabi.
“Banyak contoh pendidikan anak yang dipaparkan dalam al-Quran datang daripada peranan seorang ayah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi panel, ustazah Nawiyah Abu berkata peningkatan masalah sosial dan kesihatan mental pada hari ini berpunca daripada manusia yang semakin menjauh daripada petunjuk Allah SWT.
Menurutnya, kemewahan, teknologi dan hubungan sosial yang luas tidak menjamin kebahagiaan sekiranya hubungan dengan Allah diabaikan.
“Ramai mempunyai harta tetapi tidak bahagia, ramai kenalan tetapi masih sunyi, dan memiliki teknologi canggih tetapi hati tetap gelisah.
“Ketenangan sebenar datang daripada hubungan dengan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata peningkatan kes kemurungan, keresahan, tekanan emosi dan keruntuhan akhlak menunjukkan masyarakat sedang berdepan krisis rohani yang serius.
“Kekosongan jiwa, masalah mental dan keruntuhan sosial berlaku apabila manusia meninggalkan petunjuk Allah SWT,” katanya.
Menurut beliau, antara punca utama keadaan itu ialah kegagalan umat Islam memahami al-Quran sebagai panduan hidup.
“Ramai membaca al-Quran, tetapi tidak memahami cara menjadikannya pedoman dalam kehidupan.
“Jika mahu menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku hari ini, kita perlu kembali kepada asas iaitu al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW,” katanya.
Beliau turut menegaskan al-Quran perlu dihayati dan diamalkan, bukan sekadar dibaca, kerana ia mengandungi panduan lengkap untuk membentuk kehidupan yang sejahtera.
Forum berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.







