SHAH ALAM, 21 JUN: Teknologi hijau dijangka semakin mendapat tempat dalam kalangan isi rumah di Selangor memandangkan banyak penyelesaian yang ditawarkan mampu menjimatkan kos dalam jangka panjang menerusi peningkatan kecekapan serta penggunaan sumber boleh diperbaharui, khususnya ketika kos tenaga semakin meningkat, kata Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Iklim Selangor (SCAC), Danial Lee.
Beliau berkata insentif seperti rebat cukai taksiran 100 peratus yang ditawarkan Kerajaan Negeri kepada isi rumah yang mengguna pakai teknologi hijau mampu mengurangkan beban kewangan awal serta menggalakkan lebih ramai penduduk melabur dalam penyelesaian mampan.
“Insentif seperti ini sememangnya membantu kerana ia mengurangkan kos untuk mengamalkan teknologi yang bukan sahaja baik untuk alam sekitar, malah turut menjimatkan kos, seperti pemasangan solar bumbung dan sistem penuaian air hujan,” katanya kepada Media Selangor ketika diminta mengulas inisiatif di bawah Fasa 2 Pakej Peningkatan Daya Tahan Selangor.

Fasa 2 Pakej Peningkatan Daya Tahan Selangor dibentangkan Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang khas Dewan Negeri Selangor di sini pada Jumaat.
Antara inisiatif yang diumumkan ialah rebat penuh cukai taksiran kepada isi rumah yang memasang sistem teknologi hijau, sebagai sebahagian usaha mempercepat peralihan Selangor ke arah penggunaan tenaga bersih dan mampan.
Danial Lee berkata rebat tersebut melengkapkan pelbagai insentif sedia ada yang diperkenalkan Kerajaan MADANI bagi menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam kalangan isi rumah.
“Sebagai contoh, inisiatif SuRIA Home di bawah program Solar ATAP menawarkan insentif tambahan sehingga RM3,000.
“Terdapat juga pelepasan cukai sehingga RM2,500 kepada isi rumah yang membeli mesin kompos untuk kegunaan domestik,” jelasnya.
Mengulas sama ada rebat itu mencukupi untuk menggalakkan pelaburan dalam teknologi seperti sistem solar bumbung, sistem penuaian air hujan dan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), Danial Lee berkata pengurangan kos permulaan merupakan faktor penting dalam meningkatkan kadar penggunaan teknologi berkenaan.

“Kebanyakan aplikasi teknologi hijau mampu memberikan penjimatan kos jangka panjang, terutama dengan trend kenaikan harga tenaga ketika ini kerana produk tersebut lebih cekap atau menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui sebagai alternatif.
“Strategi kerajaan untuk membantu menampung kos permulaan adalah tepat bagi menggalakkan penggunaan yang lebih meluas, yang berkemungkinan dapat dikekalkan kerana teknologi ini sememangnya menjimatkan kos,” katanya.
Beliau menambah manfaat kewangan jangka panjang daripada teknologi hijau mampu memastikan penggunaannya terus berterusan walaupun selepas tempoh insentif berakhir, kerana isi rumah dapat menikmati kos operasi yang lebih rendah sambil menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Ketika membentangkan Fasa 2 Pakej Peningkatan Daya Tahan Selangor, Amirudin berkata krisis bekalan global telah menunjukkan keperluan mendesak untuk Selangor beralih kepada penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan amalan yang lebih mampan.
Beliau berkata setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan memperuntukkan dana bagi menyokong inisiatif penggunaan teknologi hijau, iaitu RM100,000 bagi majlis daerah, RM200,000 bagi majlis perbandaran dan RM1.5 juta bagi majlis bandaraya.







