Jurukamera Al Jazeera terbunuh, 10 rakyat Palestin maut dalam serangan terbaharu Israel

21 Jun 2026, 2:46 AM
Jurukamera Al Jazeera terbunuh, 10 rakyat Palestin maut dalam serangan terbaharu Israel

BANDARAYA GAZA (Palestin), 21 JUN: Sepuluh rakyat Palestin, termasuk jurukamera Al Jazeera Ahmad Washah dan empat anggota sebuah keluarga, terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak awal Sabtu, dalam pelanggaran terbaharu terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025, lapor Anadolu Ajansi memetik sumber perubatan dan saksi.

Dua rakyat Palestin terbunuh, termasuk jurukamera Al Jazeera Mubasher (Siaran Langsung) Ahmad Washah, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sebuah rumah di Kem Al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza.

Bahagian Mubasher Al Jazeera mengesahkan bahawa jurukameranya, Washah, terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan rumah berkenaan.

Dengan kematian Washah, jumlah kakitangan dan wartawan Al Jazeera yang terkorban di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 meningkat kepada 12 orang.

Sementara itu di Bandaraya Gaza, empat orang terdiri daripada seorang lelaki, isteri dan dua anak perempuan mereka, terbunuh dalam serangan dron Israel yang menyasarkan kediaman mereka berhampiran Persimpangan Al-Tayaran di pusat bandar itu.

Seorang warga emas Palestin turut terbunuh akibat tembakan tentera laut Israel yang menyasarkan khemah penempatan penduduk yang dipindahkan di Jalan Al-Bahr, kawasan Al-Amadi, di barat bandar itu.

Seorang lagi rakyat Palestin turut terbunuh manakala seorang wanita cedera ringan dalam serangan dron Israel yang menyasarkan pejalan kaki berhampiran bulatan Al-Saftawi di bahagian utara bandar berkenaan.

Lima lagi rakyat Palestin cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di utara Bandaraya Gaza.

Di Beit Lahia, seorang wanita terbunuh akibat tembakan tentera Israel.

Di Khan Younis, selatan Gaza, seorang rakyat Palestin terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sekumpulan penduduk di barat bandar itu.

Dua kanak-kanak lelaki Palestin turut mengalami kecederaan akibat tembakan tentera Israel berhampiran bulatan Abu Hamid di timur Khan Younis.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel telah menyebabkan 1,007 rakyat Palestin terbunuh dan 3,165 lagi cedera.

Perjanjian gencatan senjata itu dicapai selepas perang genosid Israel selama dua tahun di Gaza yang mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 173,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar terhadap kira-kira 90 peratus infrastruktur awam.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.