SHAH ALAM, 20 JUN: Selangor terus memperkukuh pembangunan sukan golf negeri menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Sukan Golf Selangor yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat muda secara lebih tersusun dan berterusan.
Program berkenaan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Tabung Amanah Sukan Golf Negeri Selangor dengan kerjasama PKNS Golf Management & Services.
Seramai 20 pemain golf berbakat dipilih untuk menyertai program pembangunan selama setahun itu di bawah kendalian Kelab Golf Negeri Selangor bagi meningkatkan prestasi serta melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

Inisiatif itu dimeterai menerusi Majlis Penyerahan Kontrak Kerjasama dan Surat Pelantikan Program Pembangunan Sukan Golf Negeri Selangor yang diadakan sempena penutup Kejohanan Golf Amatur Selangor 2026 di Bukit Beruntung Golf & Country Resort, hari ini.
Terdahulu, majlis yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Mohd Nazli Md Noor, Pegawai Daerah Gombak, Azlina Azizan dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Dewi Dirwana Munasir.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Golf Management & Services, Mohd Zubir Mohd Yasin dan Pengurus Bukit Beruntung Golf & Country Resort, Mazlan Mazman.
Program berkenaan turut menjadi kesinambungan ikhtiar Selangor dalam memperkukuh ekosistem pembangunan sukan golf termasuk pencarian bakat baharu di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Kejohanan Golf Amatur Selangor 2026 yang berlangsung sejak 18 Jun di venue sama menyaksikan Rizq Adam Rohizam muncul juara kategori lelaki, manakala Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani menjuarai kategori wanita.








