SHAH ALAM, 5 NOV: Selangor tidak berkompromi dengan sebarang salah laku rasuah atau penyelewengan yang boleh menjejaskan imej serta pentadbiran negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata setiap aduan yang diterima, termasuk melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) disiasat secara terperinci sebelum tindakan diambil.
“Tidak dinafikan kita menerima aduan melibatkan PBT, termasuk surat layang. Semuanya disiasat kerana ada yang tidak berasas, ada yang timbul disebabkan ketidakpuasan hati dan tidak kurang juga berpunca daripada kelemahan sistem.
“Namun apa yang penting, setiap aduan diteliti dan jika terbukti bersalah, tindakan akan diambil,” katanya.
Beliau ditemui pada program Dialog Integriti Kebangsaan Shah Alam (DIKSA) 2025 di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa menjaga tingkah laku bagi memelihara imej negeri dan jabatan.
“Berkaitan kes baru-baru ini, kita telah memberi peringatan dan teguran kepada individu terlibat supaya lebih berhati-hati. Penjawat awam mencerminkan imej jabatan, kerajaan dan perkhidmatan yang disampaikan,” katanya.
Sebelum ini, tular gambar seorang pegawai merokok dalam kenderaan rasmi kerajaan negeri, sebelum pegawai terbabit dikenakan tindakan surat tunjuk sebab bagi memberikan penjelasan bertulis mengenai perbuatannya.
Sementara itu, mengulas mengenai program DIKSA, beliau berkata penganjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu wajar dipuji kerana memperkasakan agenda integriti dalam kalangan penjawat awam.
“PBT lain boleh melaksanakan program sama, namun yang lebih penting ialah ia tidak terhenti pada majlis ini sahaja tetapi diterjemahkan dalam budaya kerja, seterusnya mencapai sifar rasuah,” katanya.





