Pakej Daya Tahan Selangor fokus golongan sasar, pacu ekonomi

20 Jun 2026, 3:15 AM
Pakej Daya Tahan Selangor fokus golongan sasar, pacu ekonomi
Pakej Daya Tahan Selangor fokus golongan sasar, pacu ekonomi
Pakej Daya Tahan Selangor fokus golongan sasar, pacu ekonomi

SHAH ALAM, 20 JUN: Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumumkan Kerajaan Negeri dilihat lebih berfokus kepada golongan sasar yang layak menerima manfaat berbanding pendekatan secara menyeluruh.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School (PBS) Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pendekatan itu membolehkan bantuan disalurkan terus kepada individu dan kumpulan memerlukan bagi memastikan aktiviti ekonomi terus berjalan seperti biasa.

Menurutnya, semua inisiatif yang diumumkan disasarkan kepada penerima yang telah dikenal pasti berdasarkan data dan maklumat sedia ada, sekali gus memastikan manfaat sampai kepada kumpulan tepat.

“Apa yang kita nampak, kali ini semua inisiatif itu sasarannya lebih berfokus dan tidak orang kata secara pukal lah maknanya setiap mereka yang layak itu dikenal pasti dan mereka yang layak itulah yang akan menerimanya supaya mereka ini berbelanja atau pun mampu meneruskan aktiviti ekonomi.

“Tujuannya bukannya untuk bagi moratorium supaya lebihan pendapatan tapi sebenarnya lebih kepada memastikan apa saja aktiviti yang dilakukan itu tidak perlahan dan tidak bergerak perlahan tetapi kekal seperti sebelum ini.

Pakar Ekonomi, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dalam temu bual bersama Media Selangor di Pejabat Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Bangi pada 1 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Itu yang kita nampak kali ini memang berdasarkan bekalan data maklumat sedia ada maka penerima untuk setiap inisiatif ini memang telah dikenal pasti supaya ini yang sampai kepada sasaran,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau turut menjelaskan, pakej yang diumum itu memastikan semua isi rumah mempunyai wang ataupun fiskal yang mencukupi dalam meneruskan aktiviti harian.

“Apabila berlaku krisis seperti di Timur Tengah, apa yang terjadi adalah kecenderungan orang ramai untuk tidak berbelanja ataupun tidak mampu untuk berbelanja selain peniagaan juga tidak mempunyai pulangan mencukupi untuk membayar gaji pekerja malah mungkin terpaksa membuang pekerja dan juga mungkin tutup perniagaan.

“Semua berlaku disebabkan kecairan wang itu tidak ada sebab sama ada mereka tidak ada atau pun mereka tidak berbelanja. Oleh itu semua inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan Selangor ini adalah untuk memastikan masing-masing mempunyai fiskal yang cukup.

“Maknanya isi rumah atau individu masih mampu untuk berbelanja membeli barangan asas walaupun harga barangan meningkat tetapi sekurang-kurangnya masih mampu,” ujarnya.

Tambahnya, pakej itu juga memastikan aktiviti ekonomi di Selangor itu tidak bergerak perlahan dan merudum sebaliknya masih lagi mampu menjana pertumbuhan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah tersebut, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif.

Manakala RM209.26 juta lagi diperuntukkan bagi Fasa 2 merangkumi 15 inisiatif baharu.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.