Pelajar perempuan tingkatan empat ditemukan meninggal dunia di sekolah

19 Jun 2026, 12:57 PM
Pelajar perempuan tingkatan empat ditemukan meninggal dunia di sekolah

SEREMBAN, 19 JUN: Pelajar perempuan berusia 16 tahun meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di daerah ini, pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung pelajar berkenaan yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah di sini pada 10.48 pagi.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan dan tindakan lanjut. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di kawasan bangunan sekolah berkenaan. Polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta mengenal pasti beberapa individu yang dapat membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sah yang boleh mengganggu siasatan.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dalam kenyataan hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan dan memulakan siasatan dalaman segera bagi meneliti semua aspek berkaitan kejadian.

"Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak polis. JPNS dan semua pihak berkaitan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan. JPNS juga memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti setiap perkara berkaitan," menurut kenyataan itu.

JPNS turut memaklumkan keutamaan ketika ini adalah memastikan bantuan terbaik kepada keluarga serta sokongan psikososial disediakan kepada seluruh warga sekolah yang terkesan.

JPNS memohon semua pihak memberi ruang dan menghormati sensitiviti keluarga yang sedang berhadapan keadaan sukar ketika ini.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.