Dari usaha Khadijah ke wanita berdaya tahan moden

19 Jun 2026, 4:00 AM
Dari usaha Khadijah ke wanita berdaya tahan moden

Program Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 membawa agenda penting dalam pembangunan masyarakat moden, iaitu memperkukuh peranan wanita dalam ekonomi, kepimpinan dan kebajikan sosial.

Dalam kerangka Islam, usaha ini tidak asing, bahkan mempunyai asas kukuh dalam al-Quran, hadis, serta prinsip Maqasid Syariah yang menekankan kesejahteraan manusia secara menyeluruh.

Islam sejak awal mengangkat martabat wanita sebagai insan yang memiliki tanggungjawab spiritual, sosial dan ekonomi. Al-Quran menegaskan: “Barangsiapa yang beramal soleh, lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik.” (Surah al-Nahl: 97)

Ayat ini menegaskan nilai seseorang tidak ditentukan oleh jantina, tetapi amal dan keimanan. Ini asas penting gagasan pemerkasaan wanita dalam apa jua bentuk pembangunan.

Dalam Surah al-Hujurat ayat 13 pula, Allah menegaskan kemuliaan manusia di sisi-Nya berdasarkan takwa, bukan jantina, bangsa atau status sosial.

Prinsip ini membuka ruang luas kepada wanita untuk memainkan peranan dalam masyarakat tanpa diskriminasi.

Dalam sejarah Islam, wanita bukan berada di ruang domestik, tetapi terlibat dalam ekonomi dan sosial. Contoh paling jelas ialah Saidatina Khadijah usahawan dan penyokong utama dakwah Rasulullah SAW.

Hadis juga menunjukkan pengiktirafan terhadap peranan sosial wanita. Rasulullah SAW bersabda: “Wanita adalah rakan kongsi lelaki" (Riwayat Abu Daud)

Ini membawa makna wanita dan lelaki saling melengkapi dalam membina masyarakat, bukan bersaing secara konflik, tetapi bekerjasama dalam kerangka tanggungjawab yang seimbang.

Ratu Balqis

Walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam isu kepimpinan politik wanita dalam fiqh klasik, namun prinsip umum Islam tidak menafikan keupayaan wanita dalam kepimpinan sosial, pendidikan, ekonomi dan organisasi.

Al-Quran merakam kisah Ratu Balqis dalam Surah al-Naml yang memimpin kerajaan Saba’ dengan kebijaksanaan dan diplomasi. Walaupun akhirnya beliau menerima kebenaran Islam, kisah ini menunjukkan kepimpinan wanita bukan asing dalam sejarah manusia.

Dalam konteks moden, kepimpinan wanita dalam sektor pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pentadbiran sosial sebahagian keperluan masyarakat.

Selagi berada dalam kerangka syariah dan etika Islam, ia termasuk dalam ruang maslahah (kebaikan umum) yang diiktiraf.

Dalam kerangka Maqasid Syariah, setiap dasar dan program sosial perlu dinilai berdasarkan lima objektif utama:

λ Hifz al-Din (pemeliharaan agama)

Pemerkasaan wanita membantu memperkukuh kefahaman agama dalam keluarga dan masyarakat, kerana wanita sering menjadi pendidik pertama kepada generasi.

λ Hifz al-Nafs (pemeliharaan nyawa)

Program kebajikan wanita melindungi mereka daripada keganasan rumah tangga, kemiskinan dan eksploitasi sosial.

λ Hifz al-‘Aql (pemeliharaan akal)

Pendidikan dan latihan kemahiran meningkatkan daya fikir dan kebolehan wanita untuk membuat keputusan yang lebih baik dalam kehidupan.

λ Hifz al-Nasl (pemeliharaan keturunan)

Wanita yang berdaya tahan mampu membina keluarga yang stabil, yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat sejahtera.

λ Hifz al-Mal (pemeliharaan harta)

Penglibatan wanita dalam ekonomi membantu meningkatkan pendapatan keluarga dan mengurangkan jurang kemiskinan.

Program seperti Jelajah Wanita Berdaya Tahan bukan sekadar agenda sosial, tetapi juga selari objektif syariah dalam membina masyarakat seimbang dan berdaya tahan.

Konsep 'berdaya tahan' dalam konteks wanita moden bukan bermaksud kekuatan fizikal atau ekonomi, tetapi ketahanan emosi, intelektual dan spiritual.

Islam menekankan keseimbangan melalui konsep tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa), iaitu kekuatan dalaman menjadi asas kepada ketahanan luaran.

Dalam dunia yang penuh cabaran seperti tekanan ekonomi, media sosial, dan perubahan nilai sosial, wanita memerlukan sokongan sistemik yang membolehkan mereka terus berfungsi sebagai individu, ibu, pekerja dan pemimpin masyarakat.

Walaupun Islam membuka ruang luas kepada pemerkasaan wanita, ia tetap meletakkan garis panduan etika seperti penjagaan maruah, batas pergaulan dan keseimbangan tanggungjawab keluarga. Ini bukan sekatan, tetapi satu bentuk perlindungan yang memastikan keseimbangan sosial tidak terganggu.

Pemerkasaan wanita tidak bermaksud meniru sepenuhnya model Barat, tetapi membina model tersendiri yang berasaskan wahyu, akhlak dan keadilan sosial.

Jika dilihat melalui lensa al-Quran, hadis dan Maqasid Syariah, ia bukan sahaja dibenarkan, malah digalakkan selagi membawa kebaikan, keadilan dan kesejahteraan umum.

Islam tidak meminggirkan wanita. Sebaliknya, mengangkat mereka sebagai rakan kongsi dalam membina tamadun. Yang penting memastikan setiap bentuk pemerkasaan kekal dalam landasan nilai, etika dan tujuan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh manusia.

Wanita bukan sahaja 'berdaya tahan', tetapi pemangkin kepada masyarakat yang lebih adil, berilmu dan sejahtera.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.