Anwar mahu Malaysia lebih agresif perkukuh hubungan ekonomi dengan Rusia

18 Jun 2026, 2:25 PM
Anwar mahu Malaysia lebih agresif perkukuh hubungan ekonomi dengan Rusia

KAZAN, 18 JUN: Malaysia perlu bergerak lebih agresif dan berani dalam memperkukuh hubungan ekonomi dengan Rusia serta negara lain yang berpotensi memberikan manfaat kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada media Malaysia pada sidang media penutup susulan berakhirnya lawatan kerja dua hari ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini pada Khamis, beliau berkata Malaysia tidak boleh terus terikat dengan pendekatan lama yang terlalu berhati-hati dalam hubungan antarabangsa.

“Saya lihat (dalam) beberapa bidang, kita harus lebih ke depan, lebih agresif, lebih berani, walaupun ada beberapa pertimbangan geopolitik yang kita terlalu berhati-hati sebelum ini.

"(Ini) Kerana kalau perlahan, kita ketinggalan. Ini yang sangat membimbangkan," katanya.

Beliau berkata walaupun Malaysia mendapat pengiktirafan dan penghormatan pada peringkat antarabangsa, langkah seterusnya adalah memastikan hubungan itu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi, perdagangan dan pelaburan untuk rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara bidang yang perlu diberi perhatian adalah kerjasama tenaga termasuk bekalan minyak dari Rusia.

"Soal minyak dari Rusia, itu soal yang sangat penting, dan hubungan kita dengan Rusia sangat baik.. tetapi kita agak terlalu berhati-hati dalam membawa isu ini secara agak tegas. Ini yang saya sebut kita perlu lakukan," katanya.

Beliau berkata Malaysia juga perlu mengkaji semula pendekatan hubungan dengan beberapa negara termasuk Myanmar, Afghanistan dan Iran.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.