Lonjakan daya saing Malaysia bukti usaha pertingkat kecekapan berhasil - PM

18 Jun 2026, 1:30 PM
Lonjakan daya saing Malaysia bukti usaha pertingkat kecekapan berhasil - PM

KAZAN, 18 JUN: Kedudukan Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) menjadi bukti kepada usaha memperkukuh kecekapan dan meningkatkan tahap pelaksanaan yang terus membuahkan hasil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada media Malaysia pada sidang media penutup bagi lawatan kerja dua hari ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini, Anwar berkata Malaysia terus mencatatkan kemajuan dalam penarafan daya saing global.

"Saya ambil kesempatan ini (mengulas) mengenai laporan yang baru diterbitkan hari ini, yang telah diumumkan di Kuala Lumpur, iaitu daya saing Malaysia terus melonjak ke tangga 15. Alhamdulillah.

"Maknanya meningkat lapan anak tangga dari (kedudukan) tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan tumpuan kerajaan untuk memperbaiki tahap kecekapan dan kesungguhan berada di landasan yang betul.

"Jadi maknanya (inilah hasilnya) kalau kita fokus baiki tahap kecekapan kita dan kesungguhan, saya (mengucapkan) tahniah juga kepada penjawat awam negara kita dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri yang mengawasi dan membantu," katanya.

Malaysia mencatatkan lonjakan lapan anak tangga untuk berada di kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 oleh IMD.

Tahun lepas, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi selepas melonjak 11 anak tangga berbanding tangga ke-34 daripada 67 ekonomi pada 2024.

Penarafan IMD itu berasaskan empat teras utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

Menurut IMD, pengukuhan merentas kesemua teras tersebut menjadi faktor utama yang mendorong peningkatan kedudukan Malaysia pada tahun ini.

Malaysia menduduki tempat keempat dunia bagi prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan meningkat 11 anak tangga kepada kedudukan ke-14.

Kecekapan perniagaan turut melonjak 16 anak tangga kepada kedudukan ke-16, sementara infrastruktur bertambah baik dua anak tangga kepada kedudukan ke-33.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.