Dua penjenayah warga India yang diburu dihantar pulang ke negara asal

17 Jun 2026, 1:38 PM
Dua penjenayah warga India yang diburu dihantar pulang ke negara asal

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Dua penjenayah warga India yang diburu kerana dipercayai terlibat dalam kejadian letupan di landasan kereta api di Patiala, Punjab pada 27 April lepas telah dihantar pulang atau deportasi ke negara itu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata tindakan itu dilaksanakan susulan permohonan bantuan daripada pihak berkuasa India untuk mengesan dan menahan kedua-dua individu berkenaan.

Beliau berkata operasi itu mencerminkan hubungan erat serta kerjasama berterusan antara Malaysia dan India dalam menangani jenayah berat yang melibatkan keselamatan serantau.

"Kolaborasi ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia dalam membanteras jenayah rentas sempadan, di samping memperkukuh sinergi keselamatan pada peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

M. Kumar berkata tindakan itu turut membuktikan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat perlindungan kepada mana-mana individu yang cuba melarikan diri daripada proses keadilan jenayah.

Sebelum ini, suspek berkenaan dikehendaki oleh pihak berkuasa India berhubung insiden letupan bom jenis Peranti Letupan Rekaan, yang menyasarkan landasan kereta api utama di daerah Patiala.

Suspek dipercayai menyusup masuk ke Malaysia pada penghujung April dan menyembunyikan diri di sekitar kawasan Lembah Klang bagi mengelak daripada dikesan.

Hasil risikan intensif dan kerjasama maklumat antarabangsa, Bahagian National Central Bureau/ Interpol (D12) Bukit Aman berjaya mengesan kedudukan suspek di sekitar ibu negara dan melancarkan serbuan bagi menahan mereka.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.