KUALA LUMPUR, 17 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 13 individu termasuk seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di utara tanah air, kerana disyaki meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM2.5 juta.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, suapan itu dipercayai sebagai dorongan untuk melantik syarikat yang dikawal oleh ejen kartel bagi memonopoli kerja lantikan terus serta sebut harga di agensi berkenaan.
Menurut kenyataan itu kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60-an, ditahan antara jam 8 hingga 11 malam Isnin lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
“Daripada 13 individu yang direman semalam, lapan daripadanya penjawat awam, manakala lima lagi merupakan orang awam dan pemilik syarikat.
“Dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat direman dua hari hingga hari ini, manakala 10 lagi individu direman lima hari sehingga 20 Jun, selepas Majistret Anis Hanini Abdullah membenarkan permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pagi semalam,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut mendedahkan siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2024 hingga 2026.
“Siasatan mendapati, kontraktor yang ditahan mendakwa mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah, untuk diberikan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Isnin lalu, Bahagian Siasatan SPRM melancarkan Ops Drain di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak bagi melumpuhkan kegiatan tersebut.
Dalam operasi itu, 25 lokasi merangkumi kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan digeledah.
Hasil penggeledahan, SPRM menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM1.5 juta, seutas jam tangan mewah, dua kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi serta barangan kemas bernilai kira-kira RM1 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.







