SHAH ALAM, 16 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menyertai sambutan Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah di masjid negeri di sini, malam ini.
Ketibaan Baginda kira-kira jam 7 malam disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.
Turut hadir EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah serta beberapa barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Baginda berkenan mengaminkan bacaan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Imam 1 Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ustaz Abu Dzar Adanan dan doa awal tahun yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Dato’ Muhammad Farhan Wijaya.
Baginda kemudian menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta mendengar ceramah khas sempena Maal Hijrah.
Ceramah berkenaan disampaikan oleh Ketua Pusat Pengajian Pascasiswazah, Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin.

Baginda kemudian berkenan berangkat ke Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam bagi menyempurnakan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor serta menghadiri majlis santapan.
Pada majlis berkenaan, Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1448H dianugerahkan kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada agama, masyarakat serta perkhidmatan awam.
Anak kelahiran Sabak Bernam itu pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), selain memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Sambutan Maal Hijrah tahun ini bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”, yang menekankan komitmen berterusan umat Islam untuk menghayati roh hijrah melalui amalan kehidupan dan tadbir urus yang berintegriti, amanah serta berpaksikan nilai-nilai Islam.







