SHAH ALAM, 20 JUN: Ketika kecil, Arakan Prince pernah tinggal di dalam kontena dan membantu bapanya bekerja di tapak pembinaan.
Hari ini, bekas pelarian Rohingya itu bukan sahaja bergelar graduan universiti, malah berjaya membina kehidupan baharu di New York, Amerika Syarikat.
Namun di sebalik kejayaan itu, perjalanan hidupnya tidak pernah mudah. Sebagai anak pelarian yang lahir dan membesar di Malaysia, peluang mendapatkan pendidikan merupakan cabaran yang perlu diperjuangkan sejak usia muda.
Prince, 31, atau nama sebenarnya Mohamad Rahman Imam Hussein berkata beliau bertuah kerana dibesarkan oleh ibu bapa yang sentiasa percaya pendidikan mampu mengubah masa depan keluarga mereka.
Dilahirkan di Seberang Perai, Pulau Pinang, beliau berkata kedua-dua ibu bapanya sentiasa meletakkan pendidikan sebagai keutamaan walaupun hidup dalam serba kekurangan.
“Mereka sentiasa bercakap tentang pendidikan. Mereka tahu kepentingan pendidikan dan sentiasa mempunyai impian untuk melihat saya menjadi seorang yang berilmu,” katanya dalam program Bicara Semasa sempena Hari Pelarian Sedunia, baru-baru ini.

Berpindah demi pendidikan
Kepercayaan itu mendorong ibu bapanya membuat keputusan besar untuk berpindah ke Kuala Lumpur demi memberi peluang pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak mereka.
Walaupun terpaksa berdepan kos sara hidup yang lebih tinggi dan pelbagai cabaran baharu, keluarga itu tetap berpegang kepada satu matlamat iaitu memastikan pendidikan anak-anak tidak terabai.
Sebelum berpindah ke ibu negara, keluarganya pernah tinggal di kawasan tapak pembinaan kerana kedua-dua ibu bapanya bekerja sebagai buruh. Malah, mereka menjadikan sebuah kontena sebagai tempat tinggal sementara.
Namun kesukaran hidup itu tidak pernah mematahkan semangat ibu bapanya untuk memberikan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak.
Menurut Prince, pengorbanan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau mendapat peluang mengikuti persekolahan di Kuala Lumpur.
Beliau memulakan pendidikan di Sekolah Rendah Agama Al-Ehsan Ampat Tin sebelum menyambung pengajian di Dignity for Children Foundation, sebuah institusi yang menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dan komuniti pelarian.
“Saya mendapat peluang pendidikan yang sebenar. Saya belajar bersama ramai pelajar daripada pelbagai negara seperti Somalia, Sri Lanka, Pakistan dan Myanmar,” katanya.

Dari calon persendirian ke universiti antarabangsa
Selepas menamatkan persekolahan, Prince mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian sebelum memperoleh keputusan yang melayakkannya menerima biasiswa ke Taylor’s College.
Kejayaan itu membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Monash University, sekali gus menjadi antara anak pelarian Rohingya yang berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi antarabangsa.
Pada masa sama, beliau turut melakukan pelbagai pekerjaan bagi membantu keluarga dan menyara kehidupan, termasuk bekerja di tapak pembinaan bersama bapanya serta melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Bagi saya, setiap pekerjaan adalah rezeki. Kami tidak memilih kerja kerana apa yang penting ialah peluang untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Kini, selepas berjaya membina kehidupan baharu di Amerika Syarikat, Prince percaya pendidikan merupakan faktor paling besar yang mengubah nasib hidupnya.
Justeru, beliau berharap generasi muda khususnya dalam komuniti pelarian tidak berputus asa untuk mendapatkan pendidikan walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Pendidikan bukan sekadar untuk menjadi kaya. Ia tentang menjadi insan yang lebih baik dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Menyumbang semula kepada komuniti
Kepercayaan bahawa pendidikan perlu disertai dengan tanggungjawab sosial turut mendorong beliau menubuhkan Projek Arakan Amal, sebuah inisiatif komuniti yang bertujuan membantu pelarian Rohingya serta memupuk hubungan lebih baik dengan masyarakat setempat.
Sebagai pengasas, Prince berkata projek itu bermula daripada hasrat untuk memberi semula kepada komuniti yang banyak membentuk kehidupannya sepanjang berada di Malaysia.
“Saya sentiasa percaya bahawa apabila kita mendapat peluang dalam hidup, kita perlu membantu orang lain pula.
“Sebab itu saya mahu lakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada komuniti dan masyarakat sekeliling,” katanya.
Melalui Projek Arakan Amal, pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan dilaksanakan termasuk program pendidikan, bantuan kepada keluarga memerlukan serta aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan dan rumah ibadat.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan membantu komuniti pelarian, malah membuktikan bahawa golongan tersebut juga mampu menyumbang kepada masyarakat.
Sejak ditubuhkan, Projek Arakan Amal telah melaksanakan lebih 10 projek komuniti dan kebajikan di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang.








