ad

Bangladesh di PBB: Konflik Myanmar jejas usaha hantar pulang pelarian Rohingya

27 Sep 2025, 4:32 AM
Bangladesh di PBB: Konflik Myanmar jejas usaha hantar pulang pelarian Rohingya

NEW DELHI, 27 SEPT: Konflik berterusan di Myanmar menjejaskan usaha membawa pulang pelarian Rohingya di Bangladesh dan mengancam kestabilan serantau, kata Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat.

Bangladesh telah memberi perlindungan kepada lebih 1.3 juta pelarian Rohingya yang melarikan diri ke sempadan untuk mengelak daripada kempen genosid dan penindasan di Myanmar.

“Konflik berterusan di negara jiran kami, Myanmar telah mewujudkan situasi yang amat membimbangkan seluruh rantau. Ia bukan sahaja mengancam kestabilan serantau, malah juga prospek kepulangan selamat etnik Rohingya yang dipindahkan secara paksa dan kini berlindung di Bangladesh,” kata Yunus dalam ucapannya di PBB.

“Lapan tahun berlalu, krisis Rohingya berterusan tanpa sebarang penyelesaian. Selain itu, Bangladesh terus berdepan aliran masuk etnik Rohingya yang perlahan tetapi berterusan untuk mencari perlindungan. Jelas sekali, penafian hak dan penindasan terhadap Rohingya yang berpunca daripada politik berasaskan identiti budaya masih berlaku di Rakhine,” katanya.

Dilaporkan kumpulan pemberontak etnik Tentera Arakan (AA) telah menguasai sebahagian besar kawasan di Rakhine dan terlibat dalam konflik bersenjata dengan tentera junta Myanmar.

“Mesti ada penyelesaian politik kepada masalah di Rakhine yang melibatkan pihak berkepentingan etnik di sana supaya etnik Rohingya dapat menjadi sebahagian daripada masyarakat Rakhine dengan hak yang sama dan sebagai warganegara setara.

“Ke arah itu, penghantaran pulang yang mampan dalam keadaan selamat dan terjamin mesti menerajui proses pemulihan hak mereka serta penyepaduan semula dengan bermaruah,” kata pemimpin Bangladesh itu.

Yunus berkata Bangladesh telah diheret ke dalam krisis Myanmar “sebagai mangsa kedua” selepas minoriti Rohingya yang ditindas.

“Namun, kita mesti ingat bahawa krisis Rohingya bukanlah isu dua hala dengan Myanmar. Bangladesh telah menunaikan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai jiran yang bertanggungjawab dan anggota komuniti antarabangsa yang komited," katanya.

Yunus berkata populasi pelarian itu memerlukan sokongan kewangan untuk mengekalkan taraf hidup minimum, sambil mengingatkan PBB bahawa Program Makanan Sedunia (WFP) kini berdepan kekurangan dana yang kritikal bagi tindak balas kecemasannya.

“Tanpa pembiayaan baharu yang segera, bekalan makanan bulanan mungkin terpaksa dipotong separuh kepada hanya US$6 seorang, mendorong etnik Rohingya lebih terjerumus ke dalam kelaparan, memburukkan lagi masalah kekurangan zat makanan, dan memaksa mereka mengambil langkah terdesak,” katanya.

Bangladesh juga mahu tekanan antarabangsa dikenakan ke atas Myanmar serta kumpulan pemberontak di Rakhine untuk mencari penyelesaian politik terhadap konflik itu.

“Bangladesh akan sentiasa bersedia memberi sebarang bantuan atau sumbangan yang diperlukan bagi menstabilkan Rakhine sebagaimana yang dipersetujui masyarakat antarabangsa secara kolektif,” kata Yunus, sambil menambah bahawa persidangan peringkat tinggi pada 30 Sept di Ibu Pejabat PBB di New York dijangka menghasilkan sokongan antarabangsa yang konkrit untuk rakyat Rohingya.

Menarik perhatian terhadap kempen genosid dan kemusnahan Israel di Gaza, Yunus berkata “nasionalisme ekstrem dan geopolitik yang subur atas penderitaan orang lain” sedang menghancurkan kemajuan yang dicapai manusia sejak beberapa dekad lalu.

“Tragedi ini paling jelas kelihatan di Gaza. Kanak-kanak mati kelaparan. Orang awam dibunuh tanpa mengira latar belakang. Seluruh kejiranan, termasuk hospital dan sekolah, sedang dilenyapkan daripada peta,” katanya.

“Kami bersetuju dengan suruhanjaya siasatan antarabangsa bebas PBB bahawa kita sedang menyaksikan genosid berlaku secara langsung. Malangnya, bagi pihak kemanusiaan, kita masih belum melakukan secukupnya untuk menghentikannya. Jika keadaan ini berterusan, generasi masa depan mahupun sejarah tidak akan memaafkan kita,” kata pemimpin Bangladesh itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.