KUALA LUMPUR, 15 JUN: Kementerian Luar Jepun menurunkan tahap nasihat perjalanan ke beberapa kawasan di timur Sabah berikutan penambahbaikan dalam situasi keselamatan, menurut sebuah media berkaitan pelancongan Jepun.
Jepun menurunkan amaran bagi pulau-pulau di luar pantai timur Sabah, tidak termasuk Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan beberapa pulau lain, daripada Tahap 3 (nasihat supaya mengelakkan semua perjalanan) kepada Tahap 2, iaitu nasihat agar mengelakkan perjalanan tidak penting, lapor Traicy yang memetik nasihat kementerian itu.
Nasihat perjalanan bagi kawasan pesisir pantai dari Kudat hingga Tawau, termasuk Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan kawasan lain, turut diturunkan daripada Tahap 2 kepada Tahap 1, yang pengembara dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Menurut laporan itu, tahap amaran bagi kawasan berkenaan sebelum ini dinaikkan pada Julai 2014 susulan siri insiden penculikan untuk wang tebusan yang melibatkan warga asing, termasuk ancaman yang dikaitkan dengan Kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di selatan Filipina.
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan bahawa tiada kes penculikan untuk wang tebusan berlaku sejak Januari 2020, manakala tahap keselamatan awam di kawasan berkenaan dianggap telah bertambah baik.
Bagi kawasan pesisir pantai pula, amaran tersebut sebelum ini dinaikkan susulan pencerobohan oleh kumpulan bersenjata yang menggelar diri mereka sebagai "Tentera Diraja Sulu" pada Mac 2013, namun Kementerian Luar Jepun menarik perhatian bahawa situasi keselamatan telah stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan insiden keganasan kekal rendah.
Kementerian itu turut menasihatkan para pengembara supaya menyemak maklumat nasihat perjalanan bagi negara jiran, termasuk Thailand, Indonesia dan Filipina.







