Laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan perlu dinilai semula - Pakar

14 Jun 2026, 1:09 AM
Laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan perlu dinilai semula - Pakar

SHAH ALAM, 14 JUN: Laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan memerlukan penilaian semula secara menyeluruh kerana beberapa aspek infrastrukturnya didakwa tidak lagi sesuai dengan keperluan dan tahap kelajuan motosikal masa kini.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata reka bentuk terowong di laluan berkenaan mewujudkan risiko keselamatan kepada penunggang, khususnya akibat perubahan pencahayaan yang mendadak.

Menurut beliau, peralihan daripada kawasan yang terang ke ruang terowong yang lebih gelap boleh menjejaskan keupayaan penglihatan penunggang dalam tempoh singkat, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

“Kerja tampalan jalan setinggi dua hingga tiga sentimeter di sepanjang laluan itu sudah cukup untuk memberikan daya tolakan ke atas tayar hadapan motosikal.

“Ini menyebabkan motosikal akan mudah hilang cengkaman terutamanya ketika pengguna membrek secara mengejut bagi mengelak lubang atau halangan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Pandangan itu turut dikongsi Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau Lando Zawawi yang mendakwa laluan berkenaan pada asalnya tidak dibina khusus untuk motosikal.

Beliau berkata laluan itu dahulunya merupakan jalan basikal sebelum digunakan oleh motosikal, sekali gus menyebabkan spesifikasi asalnya tidak memenuhi keperluan pengguna masa kini.

“Kalau zaman dahulu, laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan ini sebenarnya adalah jalan basikal dan jurutera sendiri mengakui ia bukan spesifikasi untuk laluan motor.

"Keadaan fizikal laluan itu bertambah bahaya apabila penutup longkang atau grating besi dibiarkan tenggelam sedikit daripada permukaan jalan asal,” katanya.

Lando turut menzahirkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna pada waktu malam kerana sebahagian kawasan terowong masih kurang pencahayaan, dipercayai akibat masalah kecurian kabel yang berlarutan.

“Banyak kawasan terowong kekal gelap kerana isu kabel dicuri yang masih berlarutan sehingga menyebabkan penunggang dihantui rasa takut setiap kali melaluinya.

“Justeru, mohon ada pertimbangan budi bicaralah kepada penunggang terutamanya golongan wanita yang terpaksa melalui laluan utama Lebuhraya Persekutuan pada waktu malam," katanya.

Beliau berkata pihak penguat kuasa wajar menggunakan budi bicara terhadap penunggang yang menggunakan laluan utama Lebuhraya Persekutuan pada waktu malam atas faktor keselamatan, terutama wanita, dan bukannya terus mengenakan saman.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.