Sambutan Hari Air Sedunia Selangor didik masyarakat cintai kelestarian

14 Jun 2026, 3:00 AM
Sambutan Hari Air Sedunia Selangor didik masyarakat cintai kelestarian
Sambutan Hari Air Sedunia Selangor didik masyarakat cintai kelestarian
Sambutan Hari Air Sedunia Selangor didik masyarakat cintai kelestarian
Sambutan Hari Air Sedunia Selangor didik masyarakat cintai kelestarian
Sambutan Hari Air Sedunia Selangor didik masyarakat cintai kelestarian

KUALA LANGAT, 14 JUN: Pelbagai aktiviti berteraskan alam sekitar sempena sambutan Hari Air Sedunia Selangor dan Hari Rendah Karbon di Pantai Kelanang semalam meningkatkan kesedaran pengunjung mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam.

Suri rumah, Jessie Liew, 47, berkata beliau yang datang dari Nilai, Negeri Sembilan bersama keluarga menyertai pelbagai acara antaranya Eco Urban Picnic yang menguji kreativiti peserta menghias khemah menggunakan barangan kitar semula.

“Sejak pagi, ada pelbagai aktiviti seperti plogging di kawasan sekitar pantai, acara mewarna untuk kanak-kanak dan permainan lain. Kami juga sertai acara hias khemah menggunakan barang kitar semula.

“Anak-anak pun terlibat sama dalam pelbagai aktiviti sekali gus memupuk amalan cintai alam sekitar dan mesra alam sejak kecil lagi,” katanya.

Sementara itu, Nurul Akhmar Md Aris, 43, berkata program seumpama itu berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat menerusi aktiviti yang disediakan.

Beliau yang menyertai pertandingan tarik tali berkata penganjuran acara berkenaan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat malah menyemai kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.

“Program seperti ini mengumpulkan pelbagai lapisan umur untuk sertai pelbagai aktiviti termasuk sukan dan kemasyarakatan.

“Ia juga membantu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Bagi Alif Raihan Zamri, 10, antara tarikan utama program itu ialah aktiviti petting zoo yang membolehkannya menyentuh dan bermain secara dekat dengan haiwan kegemarannya iaitu ular.

Katanya, pengalaman tersebut memberi peluang untuk menambah pengetahuan mengenai pelbagai jenis ular serta haiwan lain.

“Saya teruja dengan aktiviti petting zoo sebab boleh pegang haiwan kegemaran saya iaitu ular. Saya dapat tahu lebih banyak mengenai pelbagai jenis ular dan haiwan lain.

“Di sini boleh pegang haiwan ini secara percuma. Harap aktiviti seperti ini diadakan lagi,” katanya.

Sempena sambutan Hari Air Sedunia 2026 peringkat Selangor dan Hari Rendah Karbon di Pantai Kelanang, pelbagai aktiviti melibatkan masyarakat dianjurkan termasuk pertandingan mewarna, program trash to cash, pertandingan inovasi kitar semula serta gerai jualan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.