SHAH ALAM, 13 JUN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor merancang menambah baik Persimpangan Alam Budiman dengan pembinaan lorong tambahan 300 meter dari arah Puncak Alam ke Shah Alam bagi mengurangkan kesesakan selain meningkatkan keselamatan pengguna.
JKR Selangor memaklumkan penambahbaikan itu turut melibatkan pemasangan lampu jalan baharu, naik taraf lampu isyarat serta kerja-kerja keselamatan jalan di kawasan berkenaan.
“Persiaran Mokhtar Dahari (B49) merupakan jalan negeri yang menghubungkan Puncak Alam ke Shah Alam dan kini berdepan isu kesesakan serta keselamatan susulan pembangunan pesat di sepanjang jajaran tersebut.
“Antara lokasi kritikal ialah Persimpangan Alam Budiman yang terletak di laluan menuruni bukit ke arah lampu isyarat dengan faktor geometri jalan, kelajuan kenderaan dan kerosakan kenderaan menjadi punca kemalangan,” maklumnya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, JKR Selangor turut memohon menaik taraf laluan B49 kepada jalan empat lorong termasuk naik taraf persimpangan utama dari Persimpangan DASH hingga Persimpangan Budiman Valley U15 di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) sebagai langkah jangka panjang.
Menurut JKR Selangor, pelbagai tindakan mitigasi telah dilaksanakan oleh JKR Daerah Petaling sejak 2023 hingga 2025 dengan kos kira-kira RM4 juta bagi meningkatkan aspek keselamatan di sepanjang jalan berkenaan.
Antara kerja yang dilaksanakan termasuk pembinaan lorong tambahan sementara, pemasangan perabot jalan, naik taraf sistem lampu jalan negeri serta pemasangan papan tanda keselamatan.
JKR Selangor berkata pihaknya akan terus memantau keadaan semasa serta bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menambah baik tahap keselamatan dan kelancaran trafik di laluan berkenaan dari semasa ke semasa.
Semalam, media melaporkan lebih 30 penduduk terutama dari Seksyen U10 berhimpun di hadapan pusat perniagaan Alam Budiman bagi menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keselamatan jalan raya serta mendesak penambahbaikan segera.
Difahamkan, lebih 200,000 penduduk menggunakan laluan berkenaan setiap hari merangkumi kawasan Alam Budiman, Puncak Perdana, Puncak Alam, Saujana Utama, Nusa Rhu dan Setia Alam Seksyen U13.
Penduduk turut mendakwa berlaku kemalangan hampir setiap hari di laluan itu termasuk insiden penunggang motosikal berhampiran Greenhill Residence serta pelanggaran dua kenderaan di laluan antara Puncak Perdana dan Alam Budiman pada Mei lalu.







