Evolusi bola Piala Dunia, Jabulani igauan penjaga gol

16 Jun 2026, 3:00 AM
Evolusi bola Piala Dunia, Jabulani igauan penjaga gol

Teknologi bola sentiasa menjadi tumpuan dalam kejohanan besar bola sepak khususnya Piala Dunia. Lazimnya, penaja bola kejohanan akan tampil dengan teknologi baharu untuk meningkatkan lagi kualiti permainan selain reka bentuk yang menjadi identiti kejohanan.

Adidas yang memonopoli tugas membekal bola rasmi semua kejohanan bawah Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak 1970 dan Piala Eropah tidak pernah sunyi menerima kritikan daripada pelbagai peringkat mengenai kualiti bola yang dihasilkan sekalipun melalui tempoh kajian yang panjang.

Dalam sejarah Piala Dunia, Telstar dianggap antara bola paling ikonik yang digunakan di Mexico pada edisi 1970.

Bagaimanapun, perubahan teknologi dalam bola sepak bukan sahaja membawa pembaharuan, tetapi juga boleh mencetuskan perdebatan apabila ia memberi kesan kepada prestasi pemain di padang.

Jabulani

Jabulani menjadi bola rasmi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Ia dianggap antara bola yang paling kontroversi dan sukar dikawal dalam sejarah Piala Dunia.

Jabulani

Bola yang ringan dan tidak stabil itu menyebabkan pergerakannya sukar diramal. Ia boleh terbang terus ke udara namun secara tiba-tiba mampu menukar arah sama ada melambung tinggi, singgah ke tiang gol atau terus menerjah jaring.

Meski disepak dengan daya yang rendah, bola ini juga mampu mengelirukan penjaga gol yang sentiasa tewas dengan pergerakan nakalnya di udara.

Penyerang Uruguay, Diego Forlan bertindak lebih bijak apabila meminta Adidas menghantar bola Jabulani kepadanya, tiga bulan sebelum kejohanan bermula.

Latihan awal itu membolehkannya mengawal pergerakan bola dengan lebih baik dan menumpukan daya sepakan sesuai ke arah gawang gol lawan.

Hasilnya, beliau dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan dan menjaringkan lima gol selain membantu Uruguay ke separuh akhir Piala Dunia selepas 40 tahun.

Teamgeist

Reka bentuk dan pegerakan bola Teamgeist yang digunakan dalam edisi Piala Dunia di Jerman pada 2006 disifatkan seperti pelancar roket.

Teamgeist

Segalanya dapat dilihat bermula dengan jaringan pertama Jerman menerusi Philipp Lahm hasil sepakan lencong yang menerjah bucu kiri gawang Costa Rica seawal minit keenam dalam perlawanan pembukaan kejohanan.

Pergerakan bola yang stabil juga menyaksikan beberapa jaringan dihasilkan dari luar kotak penalti.

Kelajuan Teamgeist ini sebenarnya lebih mesra penyerang berbanding penjaga gol yang menganggap arah pergerakannya sukar dikawal meski permukaan luarnya lebih lembut.

Brazuca

Bola yang digunakan di Brazil pada 2014 disifatkan antara bola terbaik yang pernah dihasilkan Adidas selepas beberapa siri kejohanan Piala Dunia sebelum ini.

Brazuca menampilkan ciri lengkap seperti dimahukan pemain profesional di peringkat tertinggi dalam aspek pergerakan, kawalan dan kelajuan.

Brazuca

Tindak balas yang pantas dalam rekaan bola ini lebih konsisten sama ada pemain membuat sepakan, rembatan atau kawalan pertama.

Bola yang stabil ini membolehkan pemain lebih santai dan seronok membuat percubaan jarak jauh atau mengambil sepakan percuma.

Al Rihla

Al Rihla meneruskan evolusi moden penghasilan bola kejohanan untuk Piala Dunia pada 2022.

Bola rasmi kejohanan di Qatar ini bergerak lebih pantas dan konsisten dalam aspek layangan di udara selain mudah dikawal dalam apa juga situasi.

Al Rihla

Al Rihla turut memperkenalkan teknologi bola bersambung atau connected ball technology yang membantu sistem bantuan pengadil video (VAR) terutama dalam keputusan offside.

Reka bentuk yang mengikut piawaian itu juga membolehkan penjaga gol membaca pergerakan bola dengan lebih mudah.

Trionda

Bola rasmi untuk kejohanan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada ini tampil dengan inovasi baharu hasil gabungan teknologi yang ditambah baik selepas penghasilan Barzuca dan Al Rihla.

Trionda

Trionda disifatkan sebagai bola yang hampir sempurna untuk sukan ini seiring perkembangan teknologi semasa di samping memberi identiti kepada tiga negara penganjur.

Ia menggunakan teknologi pengesan gerakan 500Hz yang menghantar data pergerakan bola secara masa nyata kepada sistem VAR bagi membantu pengadil membuat keputusan dengan lebih tepat, termasuk situasi offside.

Sumber: FIFA.com, Adidas.com & unisportstore.com

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.