35 migran Myanmar diberkas dalam semak, sindiket guna Kota Bharu sebagai transit

12 Jun 2026, 2:50 PM
35 migran Myanmar diberkas dalam semak, sindiket guna Kota Bharu sebagai transit

KOTA BHARU, 12 JUN: Kota Bharu dipercayai menjadi antara laluan transit sindiket penyeludupan migran, apabila 35 warga Myanmar ditahan dalam satu operasi khas di sekitar Jalan Kebun Sultan dan Kampung Tal Tujoh, di sini semalam.

Pengarah Imigresen Kelantan Garry Belayong John Siki berkata operasi yang dinamakan Ops Serkap itu, dilaksanakan pada kira-kira 6 pagi hasil maklumat risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin di negeri ini.

Beliau berkata hasil pemantauan mendapati, tiga kenderaan dipercayai digunakan untuk mengangkut migran berkenaan ke luar Kelantan, melibatkan lima lelaki dan enam wanita warga Myanmar yang dikenal pasti berada dalam kenderaan itu.

“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan operasi turut menemukan 24 lagi warga Myanmar yang bersembunyi di dalam semak, menjadikan keseluruhan tangkapan melibatkan 35 individu terdiri daripada 22 lelaki dan 13 wanita.

“Tiga buah kereta iaitu Toyota Yaris, Honda Jazz dan Honda CR-V turut ditahan, bagi membantu siasatan manakala dua lelaki warga tempatan diberkas di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Garry berkata kesemua warga Myanmar terbabit, ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata imigresen tidak berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk rakyat tempatan yang melindungi atau memudahkan kemasukan pendatang ke negara ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.