Imigresen tumpas sindiket seludup migran di Seremban, Rawang

11 Mei 2026, 6:46 AM
Imigresen tumpas sindiket seludup migran di Seremban, Rawang
Imigresen tumpas sindiket seludup migran di Seremban, Rawang
Imigresen tumpas sindiket seludup migran di Seremban, Rawang

SHAH ALAM, 11 MEI: Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan migran menerusi operasi khas yang dijalankan di dua lokasi sekitar Seremban dan Rawang, Khamis lalu.

Operasi bermula jam 4 petang itu dilaksanakan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat awam serta risikan pihak berkuasa.

Menurut kenyataan jabatan itu menerusi Facebook, dalam serbuan berkenaan, enam warga Indonesia ditahan termasuk seorang lelaki dipercayai bertindak sebagai penghantar migran serta dua lelaki yang menjaga rumah transit.

Turut ditahan seorang lelaki dan dua wanita dipercayai migran yang akan diseludup keluar melalui laluan tidak sah.

Pihak berkuasa turut merampas tiga pasport Indonesia, empat telefon bimbit dan wang tunai RM4,350 dipercayai hasil kegiatan haram sindiket terbabit.

Sebuah kenderaan jenis Proton Perdana yang dipercayai digunakan untuk mengangkut pendatang tanpa dokumen turut disita bagi membantu siasatan.

Sindiket itu dipercayai menyasarkan warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Migran berkenaan dipercayai diseludup keluar masuk Malaysia melalui laluan laut yang tidak diwartakan menggunakan rangkaian rumah transit sementara.

“Sindiket dipercayai menggunakan kenderaan bagi membawa migran ke rumah transit sementara sebelum dibawa keluar melalui laluan masuk laut haram.

“Sindiket ini dikendalikan warga Indonesia dan mengenakan bayaran RM1,500 bagi setiap migran,” kata kenyataan itu lagi.

Penghantar migran terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, manakala penjaga rumah transit ditahan mengikut Seksyen 26A akta sama.

Kesemua migran pula ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.