KUALA SELANGOR, 12 JUN: Operasi Loji Sisa ke Tenaga 1 (WTE1) Jeram dipantau secara langsung oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan semua parameter alam sekitar sentiasa mematuhi piawaian ditetapkan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem pemantauan di bilik kawalan loji itu disambungkan secara langsung kepada JAS sekali gus membolehkan agensi berkenaan memantau tahap pelepasan serta operasi loji secara berterusan.
Menurut beliau, pemantauan tersebut membuktikan komitmen pengurusan loji dalam memastikan operasi berjalan mengikut garis panduan alam sekitar yang ditetapkan pihak berkuasa.
Amirudin berkata, setakat sebulan beroperasi, loji itu berjaya memenuhi semua syarat ditetapkan termasuk kawalan had pembakaran bagi mengelakkan dioksin tersebar.
“Kita tertakluk di bawah garis panduan JAS, malah kita sentiasa memenuhi kriteria ditetapkan. Apa yang berlaku di sini, laporan yang berlaku di skrin (dalam bilik kawalan loji) turut dipancarkan langsung di bawah kelolaan JAS.

“JAS sangat mengetahui tentang lokasi Ini, jadi ada beberapa ketetapan contohnya had pembakaran mengelakkan dioksin daripada tersebar, mengelakkan debu daripada terkeluar dan itu semua ada dalam ketetapan kita.
“Setakat ini dalam tempoh sebulan selepas ia beroperasi saya boleh katakan semuanya dalam kapasiti yang sangat baik malahan kapasiti pengeluaran tenaga kita sampai ke tahap 100 peratus atau lebih,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Operasi Loji WTE1 Jeram di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) Jeram di sini, hari ini.
Tegasnya, aspek keselamatan dan pematuhan alam sekitar akan terus menjadi keutamaan sepanjang operasi loji berkenaan.
“Kita sangat telus, malah kita akan cuba memenuhi kriteria ini dengan sebaik mungkin. Bukan nak mendabik dada, kita 'perfect'. Tapi setakat ini, untuk bulan pertama pengeluaran tenaga kita mencapai kapasiti 'almost' 100 peratus.
“Kawalan kita terhadap alam sekitar mencapai tahap yang ditetapkan dalam piawaian dan isu keselamatan serta juga menjadi keutamaan kepada keseluruhan pasukan terlibat. Kita tidak mahu mendabik dada, tetapi kita akan setiasa berjaga-jaga untuk pastikan semuanya berada dalam situasi terbaik,” katanya.

WTE1 yang mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada 13 Mei lalu, dibangunkan sepenuhnya Worldwide Holdings Berhad (WHB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Loji berkenaan berupaya berupaya memproses 1,500 tan sisa pepejal sehari dan menjana sehingga 26 megawatt (MW) tenaga elektrik, mencukupi untuk membekalkan tenaga kepada sekurang-kurangnya 26,000 isi rumah, bergantung kepada corak penggunaan elektrik masing-masing.










