SHAH ALAM, 11 JUN: Dua projek naik taraf infrastruktur melibatkan kerja penurapan jalan dan pembaikan sistem perparitan sedang dilaksanakan di sekitar Banting bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting V Papparaidu berkata projek berkenaan membabitkan kerja menaik taraf longkang di Sungai Sedu serta penurapan jalan di Kampung Sungai Manggis.
Menurutnya, kerja naik taraf longkang di Sungai Sedu yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Langat bertujuan menambah baik sistem saliran bagi mengurangkan risiko takungan air di kawasan berkenaan.
"Pelaksanaan ini dilakukan bagi meningkatkan sistem perparitan, melancarkan aliran air dan mengelakkan takungan air di kawasan berkenaan.
"Semoga projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata projek itu dijangka membantu melancarkan aliran air selain memberi keselesaan kepada penduduk sekitar.
Dalam perkembangan sama, kerja penurapan jalan dilaksanakan di salah sebuah lorong perumahan di Jalan Bawah, Kampung Sungai Manggis selepas laluan tersebut mengalami kerosakan yang agak teruk.
"Kerja penurapan tersebut telah berjaya dilaksanakan demi keselesaan dan keselamatan penduduk.
"Penduduk setempat turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas usaha yang telah dilakukan," katanya.
Papparaidu berkata perkembangan kedua-dua projek berkenaan ditinjau Tok Ketua Kampung Sungai Manggis Anuarwanee Ikram bersama Ahli Majlis Zon 14, Nadasan Subramani.
"Terima kasih kepada pihak JKR Daerah Kuala Langat atas usaha dan komitmen dalam melaksanakan projek ini," katanya.







