SHAH ALAM, 11 JUN: Dua beradik yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kotak wang dan telefon bimbit milik seorang peniaga nasi bajet di Jalan Lebuh Meru Raya, Ipoh bulan lalu berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata suspek berusia 24 dan 36 tahun itu ditahan di Teluk Intan pada Isnin susulan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 21 Mei lalu ketika mangsa sedang berniaga di gerainya pada waktu tengah hari.
"Mangsa didekati oleh dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal dengan niat untuk membeli makanan.
"Ketika mangsa sedang sibuk membungkus nasi lemak, salah seorang suspek mengambil kotak wang yang mengandungi wang tunai dan sebuah telefon bimbit sebelum kedua-duanya melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Najib berkata kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut ketika disoal siasat.
"Siasatan juga mendapati mereka mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah lain di daerah ini," katanya.
Beliau berkata kedua-dua lelaki itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan suspek.
Muhammad Najib turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan memastikan barang berharga disimpan di tempat selamat bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah.
Sebelum ini, kisah seorang peniaga nasi bajet di Lebuh Meru Raya yang menjadi mangsa dua lelaki berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan kotak wang dan telefon bimbit miliknya tular di media sosial.
Anggaran kerugian adalah sekitar RM2,000, membabitkan wang tunai dan telefon bimbit.







