Piala Dunia tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Suasana tegang luar dan dalam padang sentiasa menjadi penyeri kejohanan empat tahun sekali itu.
Bermula daripada pemilihan tuan rumah hingga aksi di padang, segalanya dinantikan semua peminat bola sepak. Lebih buruk ada nyawa terkorban sejurus kejohanan tamat.
Penganjuran di Korea Selatan dan Jepun pada 2002 antara edisi Piala Dunia yang mencoret kisah hitam hingga menampakkan sisi memihak kepada pasukan tuan rumah.
Berikut bingkisan sebahagian kontroversi penganjuran Piala Dunia kali pertama di rantau Asia sejak kejohanan berprestij itu diperkenalkan pada 1930.
Fevernova
Adidas mengumumkan Fevernova sebagai bola rasmi kejohanan edisi ke-17. Dengan lapisan busa sintetik (syntactic foam) dan jahitan rangka tiga lapis, rekaan berkenaan antara pembaharuan bola kejohanan berbanding Tricolore yang digunakan di Perancis pada 1998.
Bagaimanapun, bola berkenaan mengundang kritikan tajam beberapa pemain dan jurulatih antaranya penjaga gol Itali Gianlugi Buffon yang menyifatkan lantunan Fevernova sebagai gila dan lebih sesuai digunakan untuk sukan bola tampar.

Bintang Brazil Rivaldo, penyerang Slovenia Zlatko Zahovic dan pemain tengah Turkiye Abdullah Ercan merumuskan rekaan serta kualiti bola berkenaan sangat teruk, ringan seperti belon selain sukar dikawal apabila disepak terlalu kuat.
Kritikan sama turut dihamburkan pemain lapan tahun kemudian terhadap bola Jabulani (Afrika Selatan 2010) dan Brazuca (Brazil 2014).
Juara bertahan rebah
Perancis tampil ke benua Asia dengan status juara Piala Dunia 1998 dan Piala Eropah 2000. Bintang seperti Zinedine Zidane, Thierry Henry, Patrick Viera dan Marcel Desailly memikul tanggungjawab berat dalam misi mempertahankan kejuaraan.
Ternyata langit tidak sentiasa cerah buat Les Bleus. Senegal, lawan pertama yang dianggap mudah oleh kebanyakan pemerhati bola sepak membuktikan sebaliknya dalam penampilan sulung Piala Dunia.

Jaringan tunggal Papa Bouba Diop pada minit ke-30 menempa sejarah bermakna buat Senegal di kejohanan terbesar dunia tanggal 31 Mei 2002.
Kegopohan pertahanan Perancis di hadapan gawang sendiri dihukum Bouba Diop yang tenang menolak masuk bola menerjah jaring menewaskan penjaga gol Fabien Barthez.
Perancis seperti tidak bersedia untuk bertarung di Stadium Seoul, lebih malang kecederaan Zidane dalam perlawanan persahabatan sebelum sepak mula kejohanan menambah kepincangan pasukan.
Juara bertahan itu rebah di peringkat kumpulan tanpa sebarang kemenangan. Senegal terus mencoret sejarah pertama kali ke suku akhir di Piala Dunia sebelum tunduk kepada Turkiye 1-0 menerusi jaringan emas Ilhan Mansız.
Mafia Itali 'dirompak'
Menjadi tuan rumah nyata memberi kelebihan kepada Jepun dan Korea Selatan. Manakan tidak, kedua-dua pasukan pertama kali melepasi peringkat kumpulan dan bersaing dalam pusingan kalah mati.
Samurai Blue yang ketika itu dibimbing Philippe Troussier lolos ke pusingan 16 pasukan terbaik sebagai juara kumpulan H, mengumpul tujuh mata sebelum tewas 0-1 kepada Turkiye.
Korea Selatan juga cemerlang di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, melepasi peringkat kumpulan kali pertama selepas lima kali mencuba.
Mereka menewaskan Itali 2-1 menerusi jaringan emas Ahn Jung-hwan pada minit ke-117 dalam pusingan 16 pasukan terbaik. Aksi itu turut dicemari beberapa kontroversi melibatkan pengadil Byron Moreno.
Itali yang berkelebihan gol Christian Vieri tempang sepanjang masa tambahan apabila Francesco Totti dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua kerana didakwa sengaja merebahkan badan dalam kotak penalti.
Kelebihan satu pemain digunakan sebaiknya Taegeuk Warriors yang mencetak gol kedua hasil tandukan Jung-hwan pada penghujung babak kedua masa tambahan. Jaringan itu memahat nama mereka sebagai pasukan Asia pertama ke suku akhir Piala Dunia.
Kem Itali gagal sembunyikan kemarahan terhadap keputusan pengadil sepanjang perlawanan. Mereka berasa seperti dirompak malah mendakwa Moreno bersama FIFA mengatur perlawanan meski lapan pemain mendapat kad kuning (lima Korea Selatan) di Stadium Daejeon.
Kegembiraan Jung-hwan dan Korea Selatan itu rupanya tidak bertahan lama. Kelab liga Itali Serie A, Perugia bertindak balas terhadap Jung-hwan serta-merta dengan memecat beliau dan menganggapnya "telah menghancurkan bola sepak Itali" berikutan gol berkenaan.
Nyalaan kerjaya Moreno sebagai pengadil pula kian malap selepas itu. Beliau digantung tugas kerana membenarkan 13 minit masa kecederaan dalam satu perlawanan di Ecuador.
Sudah jatuh ditimpa tangga, beliau kemudiannya ditahan di Amerika Syarikat kerana menyeludup heroin pada 2010.
Duka La Roja
Sepanyol cemerlang di peringkat kumpulan. Menang semua tiga perlawanan dan juara kumpulan B. Mara ke pusingan 16 pasukan terbaik, La Roja mula bergelut untuk menang.
Saingan sengit Ireland memaksa Sepanyol bekerja keras sebelum menang penentuan penalti 3-2 selepas mereka terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan.

Ramai menyangka Sepanyol akan kembali bangkit di suku akhir bertemu Korea Selatan, namun semuanya meleset.
Belum reda bahang pertikaian keputusan pengadil yang didakwa lebih menyebelahi Korea Selatan ketika menentang Itali, rupanya Sepanyol 'mangsa' seterusnya.
Pengendali La Roja, José Antonio Camacho membawa dua senjata utama dari Real Madrid di bahagian serangan, Fernando Morientes dan Raúl yang cemerlang di peringkat kumpulan, sambil dibantu ketua pasukan berpengalaman Fernando Hierro, Luis Enrique dan Carles Puyol.
Segalanya bermula dengan tindakan pengadil dari Mesir Gamal Al-Ghandour yang membatalkan gol Ivan Helguera pada babak kedua atas alasan pertahanan Sepanyol itu menarik baju pemain lawan.
Sepanyol tidak mengalah dan terus menyerang meski sesekali kubu mereka diasak lawan. Dalam kegairahan mencari gol, tuah sekali lagi tidak memihak La Roja.
Kali ini giliran penjaga garisan Wagih Farag pula yang membatalkan gol tandukan Morientes pada babak kedua masa tambahan.
Pemain Sepanyol mengerumuni pegawai dari Mesir itu dan mempertikai keputusannya yang menyatakan bola terlebih dahulu keluar garisan ketika hantaran silang Joaquin kepada Morientes.

Lebih mendukacitakan, Wagih juga kerap mengangkat bendera kerana offside dalam usaha Sepanyol merencana beberapa serangan memburu gol selepas itu.
Akhirnya, Korea Selatan muncul pemenang. Tuah penentuan penalti berjaya mengingkirkan Sepanyol 5-3. Penyokong tuan rumah bersorak girang di Stadium Gwangju.
Camacho nyata gagal menyembunyikan rasa marah dengan cara pengadil mengendalikan perlawanan. Dalam sidang media beliau berkata:
"We have become just one more victim. Is it a scandal? Right now it seems to me that it is."
Al-Ghandour turut mempertahankan keputusannya dan menyatakan beliau menerima penilaian tinggi daripada FIFA untuk perlawanan tersebut. Beliau juga sebahagian besarnya menyalahkan pembantu pengadil atas keputusan bola keluar garisan itu.
Disebalik dua kisah kontoversi yang membayangi Korea Selatan itu, perjalanan skuad bimbingan Guus Hiddink akhirnya berakhir di separuh akhir selepas tewas 0-1 kepada Jerman.
Walaupun kalah 2-3 kepada Turkiye dalam penentuan tempat ketiga di Stadium Daegu, pencapaian Korea Selatan sebagai pasukan keempat terbaik kekal rekod bersejarah untuk negara Asia sepanjang Piala Dunia dianjurkan.







