SHAH ALAM, 11 JUN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menarik balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri kepada Mohd Isa Abdul Samad, berkuatkuasa 8 Jun lalu.
Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata penarikan balik darjah kebesaran itu susulan Mohd Isa disabitkan dengan kesalahan rasuah dan sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.
“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.
“Ia juga selaras titah Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 Sept 2024 di Istana Negara,” katanya.
Pada 10 Februari lepas, Mohd Isa diperintahkan menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan rasuah terhadapnya melibatkan RM3.09 juta.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara sekiranya gagal membayar.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel melalui bekas pegawai khasnya Muhammad Zahid Md Arip.
Pada 2024, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, sekali gus membebaskan dan melepaskan Mohd Isa daripada pertuduhan berkenaan.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Nordin berkata Mahkamah Tinggi telah bertindak dengan tepat apabila mendapati Mohd Isa menerima suapan, sekali gus menimbulkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM).
Membacakan alasan penghakiman, Nordin berkata Mohd Isa gagal menangkis anggapan di bawah Seksyen 50(1), dan oleh itu unsur kesalahan menerima rasuah terbukti melebihi keraguan munasabah bagi kesemua sembilan pertuduhan terhadap beliau.







