SHAH ALAM, 10 FEB: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun bermula Selasa selepas Mahkamah Persekutuan mensabitkannya atas sembilan kes rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan, bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan terhadap bekas Naib Presiden UMNO berusia 77 tahun itu.
Mahkamah memutuskan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Mohd Isa sebelum ini adalah tersilap, dan mengesahkan semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan beliau atas semua pertuduhan, lapor Sinar Harian.
“Kami mendapati keputusan Mahkamah Tinggi adalah tepat dan selamat. Tiada sebab untuk mahkamah ini mengganggu sabitan berkenaan,” kata Nordin ketika membacakan keputusan sebulat suara.
Susulan keputusan itu, Mohd Isa dibawa ke Penjara Kajang, manakala ahli keluarganya yang hadir di mahkamah dilihat menangis ketika beliau dibawa keluar dari galeri awam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, manakala Mohd Isa diwakili peguam M. Athimulan dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap Mohd Isa, namun hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan enam tahun.
Bagaimanapun, pada 6 Mac 2024, Mahkamah Rayuan membebaskan beliau selepas mengetepikan sabitan dan hukuman itu, sebelum keputusan tersebut dicabar oleh pihak pendakwaan.
Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima rasuah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel, Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Menara Felda, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.


