SHAH ALAM, 11 JUN: Dua suspek termasuk wanita ditahan bagi membantu siasatan kes samun bersenjata terhadap seorang pemandu e-panggilan yang mengakibatkan mangsa cedera dalam kejadian di Terminal Bas Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun bersenjatakan pisau itu pada jam 2.46 pagi semalam, lapor Berita Harian.
Beliau berkata seorang wanita berusia lingkungan 20-an ditahan di sekitar Terminal Bas Tun Sri Lanang kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum polis memberkas seorang lelaki berusia lingkungan 20-an di sekitar Dataran Larkin, Johor Bahru pada jam 2.30 petang hari ini.
“Lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkenaan. Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.
Menurutnya, suspek wanita direman selama lima hari selepas mendapat perintah Mahkamah Majistret Kota Tinggi, manakala suspek lelaki akan dibawa ke mahkamah sama hari ini bagi permohonan reman.
Sementara itu, maklumat yang tular di Facebook mendakwa mangsa menerima 10 jahitan pada bahagian leher akibat kecederaan yang dialami dalam kejadian berkenaan







