Pemandu Myvi langgar kanak-kanak berbasikal ditahan polis

9 Jun 2026, 12:29 PM
Pemandu Myvi langgar kanak-kanak berbasikal ditahan polis

SHAH ALAM, 9 JUN: Polis menahan pemandu Perodua Myvi yang melanggar seorang kanak-kanak berbasikal sebelum melarikan diri dalam kejadian di Jalan Wirawati 5, Kampung Pandan, Kuala Lumpur pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata lelaki berusia 45 tahun itu diberkas susulan maklumat serta siasatan yang dijalankan selepas rakaman kejadian tersebar di media sosial.

Menurut beliau, JSPT Kuala Lumpur berjaya mengesan pemandu terbabit yang kemudian hadir bersama pemilik kenderaan ke balai polis bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku jam 7.26 pagi membabitkan sebuah Perodua Myvi oren dipandu suspek dengan sebuah basikal yang ditunggang kanak-kanak lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kenderaan berkenaan membelok keluar simpang ke kanan sebelum melanggar bahagian belakang basikal mangsa.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata semakan lanjut mendapati suspek memandu kenderaan milik adiknya ketika kejadian berlaku.

Katanya, suspek juga merupakan pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental dan mempunyai lesen memandu yang masih aktif.

“Proses merakam percakapan kedua-duanya masih dijalankan. Kecederaan penunggang basikal masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli keluarga mangsa tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan. Orang awam yang menyaksikan kejadian termasuk pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) turut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hazman di talian 019-2089005 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.