AKPS patahkan cubaan seludup beras bernilai RM64,000 di sempadan

9 Jun 2026, 8:27 AM
AKPS patahkan cubaan seludup beras bernilai RM64,000 di sempadan

BUKIT KAYU HITAM, 9 JUN: Cubaan menyeludup 20.6 tan metrik beras putih yang tidak diisytihar dengan menyembunyikannya di bawah timbunan temukut dalam sebuah lori, berjaya dipatahkan hasil pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Kegiatan itu dikesan menerusi pemeriksaan yang dijalankan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama AKPS selepas menerima dokumen bagi satu konsainan yang diikrarkan membawa temukut sebelum kenderaan terbabit dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Fauzi Mohd Yusof berkata berdasarkan dokumen pengisytiharan, konsainan berkenaan membawa 32 beg jumbo temukut dengan jumlah berat keseluruhan 33,040 kilogram.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati hanya 12 beg jumbo itu mengandungi temukut yang diletakkan di bahagian atas muatan.

“Manakala 20 beg lagi didapati berisi beras putih yang tidak diisytiharkan, dipercayai cuba diseludup dengan menyembunyikannya di bawah timbunan temukut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati, setiap beg jumbo beras itu mempunyai berat kira-kira 1,030 kilogram dan menjadikan jumlah keseluruhan beras yang dirampas sebanyak 20,600 kilogram dengan nilai dianggarkan RM64,000.

Susulan rampasan itu, sebuah lori yang dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an bersama muatan berkenaan, telah disita di Balai Pemeriksaan Kesihatan Blok E, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

Kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Fauzi berkata AKPS akan terus memperketat kawalan serta pemeriksaan di semua pintu masuk negara, bagi memastikan setiap barangan yang dibawa masuk atau keluar mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelak daripada membuat pengisytiharan atau menyeludup barangan, bagi mengelakkan kerugian hasil negara serta melindungi kepentingan keselamatan dan ekonomi negara,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.